Sunday 10 December 2017

Tapis Fakta dan Cerita

Teks: Anie Alja
Apa yang perlu ditulis?


Bila mak membaca naskah Mayang Sari, dia memberi komen, "Banyak lagi yang tidak dimasukkan dalam buku ni."

Bla, bla, bla... mak bercerita panjang tentang kisahnya disihir saudara. Bagaimana Tokwan kami mengayuh basikal sambil membawa tempayan berisi sesuatu untuk dibuang. Jatuh pula ke dalam parit akibat padel basikal tersadung akar semasa melalui denai.

Cukup, cukup, cukup.

Ini maksudnya pesanan di atas. Walaupun banyak perkara berlaku kepada kita, tetapi tidak semuanya harus diceritakan dalam penulisan memoir.

"Mak, kalau nak dimasukkan kesemua, buku ini akan jadi dua kali ganda tebalnya," jelas saya.

Apakah yang relevan?

Ini soalan yang wajib dijawab oleh penulis memoir. Memoir Mayang Sari adalah kisah penderitaan mak disihir hampir 30 tahun, jadi susun fakta dan cerita yang berkait dengan penyakit mak. Kisah mak duduk rumah askar, berbaik-baik dengan jiran-jiran dan bergotong-royong membersihkan kawasan kejiranan, tidak perlu dimasukkan dalam perjalanan memoir kecuali ia ada hubungkait.

Maksudnya, ia releven pada jalan cerita yang kita kongsikan.

Kisah mak ayah sebagai penjual kuih tidak relevan pada penyakit mak, tetapi ia memberi gambaran lain selain kejahatan jin menyakiti manusia, ia juga boleh mengganggu urusan lain sebab itu ia dimasukkan dalam penceritaan.

Salah atau Betul?

Soal diri, mengapa cebisan kisah ini ditulis dalam manuskrip? Jika ia ditulis kerana ia berlaku ke atas kita, dan kita rasa penting walaupun tidak ada kena-mengena dengan jalan cerita. Cantas.

Setengah penulis memberi tip, jika penulis sendiri skip membaca apa yang ditulis, kemungkinan besar pembaca juga akan langkau apa yang sedang dibaca.

Jujur pada diri. Tidak semua yang berlaku ke atas kita harus diceritakan dalam penulisan memoir. Pilih dan pilih, susun dan harus ada sebab mengapa ia ditulis.


Saturday 9 December 2017

Harga Sebuah Persahabatan

Teks: Anie-Alja
Tiada Harga






Sejak tahun lepas, saya diduga dengan kehilangan kawan demi kawan. Ada kawan baik dan ada suam-suam kuku. Ada yang saya sengaja tinggalkan atau mereka pergi meninggalkan saya, dua-dua pengalaman tidak menyenangkan. Kedua-duanya meninggalkan kesan yang mendalam pada diri, saya kehilangan.

Dalam usia begini, saya tidak berniat mencari salah siapa selain melihat pada diri sendiri. Separuh mungkin salah diri yang semakin cerewet dan berperangai couldn't careless. Tenaga sudah kurang untuk mencari dan memujuk. Kurang sabar dengan kerenah manusia yang hanya menunggu tanpa berusaha, menerima tanpa ada keinginan memberi. Lelah sebenarnya, bila kita berfikir orang lain sepertimana kita. Lesu sebenarnya, bila jangkaan kita pada orang sepertimana kita sanggup memberi pada mereka.

Jadi, jalan termudah saya berhenti mencari dan memberi.

Kawan Lama

Apa istilah kawan lama? Kawan yang kita kenali melebihi usia tujuh tahun. Ya, saya ada beberapa orang kawan yang melebihi usia yang diistihar psikologi sebagai kawan, tetapi lebih pada saudara seibu dan sebapa. Kawan yang mengenali kita lebih rapat daripada adik-beradik sendiri. Kawan yang kita boleh kacau mereka pada bila-bila masa sahaja. Kawan yang sanggup mendengar keluh-kesah kita tidak kira masa dan ketika, sebodoh mana sekalipun, dia sanggup menadah telinga dan melayan.

Ya, saya ada kawan-kawan lama begini tetapi lama-kelamaan keperluan saya dan mereka juga berubah. Tanpa dirancang dan tanpa dipinta, saya tidak lagi mampu menyokong keperluan mereka. Begitu juga mereka, tidak lagi mampu menyokong keperluan saya. Bicara kami berlainan nada, muzik kami berbeza alunan dan akhirnya menyepi tanpa berita. Saya tidak salahkan mereka, kami tidak mampu menyokong lantaran destinasi kami terpisah arah.

Tapi sakitnya di sini, saya rasa kehilangan.

Belajar Hormat Diri




Ini antara ilmu self-empowerment, we are important.

Bila kehadiran kita tidak lagi diraikan. Mesej 10 baris kita dibalas sebaris ayat OK, bila lima jemputan kita disertai dengan tujuh alasan, kita tahu sendiri, ini masanya untuk kita pergi meninggalkan.

Ya, antara objektif minda dan keinginan hati, ia sering berbalah. Otak berilmu meminta kita pergi meninggalkan tetapi hati yang menyayangi meminta kita menanti, pasti. Otak berkeras membentak, sampai bila. Hati merajuk sepi, mengangguk tidak pasti. Siapakah yang menang demi menjaga kehormatan diri?

Tapi yang nyata, hati ini tetap menangis kehilangan.



Wednesday 6 December 2017

Tulis Dulu, Cantas Kemudian.

Teks: Anie Alja
Terus Menulis
Koleksi Anie-Alja

Pengalaman saya semasa menulis memoir; takut, sedih dan kecewa bersilih ganti. Seribu satu rasa yang kurang menyenangkan. Adakalanya, saya berhenti menulis buat beberapa lama bagi mengumpul kekuatan dalaman. Saya menyoal diri, mengapa saya memilih menulis memoir keluarga. Membuka pekung kami pada orang luar.

Pada waktu ini, saya mencari kekuatan melalui penulis-penulis memoir dari luar negara. Nasihat mereka lebih praktikal dan berpijak di bumi nyata. Ketika itu saya sedar, apa yang saya rasa adalah real dan berasas. Melalui perkongsian mereka, cari mencari semula kekuatan diri dan terus menulis hingga ke titik akhir.

Selesai draft pertama, saya rehatkan buat sementara dan memujuk hati, saya akan buang bahagian yang tidak berapa sesuai untuk dikongsi. Tulis tetap tulis. Kita putuskan sama ada ia kekal dalam manuskrip atau tidak, kemudian. Tidak perlu tergesa-gesa, kita sentiasa ada ruang dan peluang untuk membetulkan draft pertama.

Buang Rasa Takut

Perasaan menulis memoir tidak sama seperti menulis buku fiksyen, bak kata beberapa orang penulis memoir barat. Ada yang memberi nasihat, jangan menulis memoir jika ada perkara yang kita mahu sembunyikan daripada umum. Tetapi pada saya, tulis dulu, buang kemudian. Rehat bila rasa emosi terganggu, dan sambung semula.

Fasa ini dipenuhi dengan self-doubt yang menggunung. Kita akan ada rasa takut, bimbang akan penerimaan ahli keluarga, malu dengan masalah yang melingkari diri atau rasa kerdil untuk berhadapan dengan komen dan maklumbalas orang keliling.

Yes, we are vunerable at every stage of the writing. But keep writing, just keep writing.

Dalam hati harus berkata, draft ini untuk aku sahaja. Teruskan menulis hingga tamat. Tujuannya satu, agar kita mampu habiskan apa yang kita mulakan selama ini. Jangan sia-siakan masa dan tenaga yang telah dicurahkan dalam draft pertama. Pastikan, kita menulis hingga selesai.

Draft kedua nanti, kita akan buang dan cantas mana dan apa yang perlu.




Tuesday 5 December 2017

Nenek Si Bongkok Tiga; Mayang Sari

Teks: Anie Alja
Si Bongkok Tiga

Imej Google






Si Bongkok Tiga  


Nenek-nenek si bongkok tiga
Siang mengantuk malam berjaga
Mencari cucu di mana ada
Nenek ku kahwin dengan anak raja

Cucu-cucu tak dapat lari
Nenek tua ada sakti
Sekarang juga mencari ganti
Siapa dapat dia yang jadi


Bulan Madu ke Artik-3

Teks: Anie-Alja
Bulan madu ke laut biru



Midnite Sun-Norway
Imeg Google

Hi, masih di sini, masih belum habis catatan bulan madu ini. 
Ringkasnya, dalam entri bulan madu, kita sudah tahu serba sedikit tentang keunikan negara Norway. Kita juga boleh berangan serba-sedikit tentang keadaan kapal yang dinaiki oleh saya di sepanjang perairan melepasi garisan artik ke kutub utara. 

Sebagai negara yang terkenal dengan gelaran Midnight Sun, kita dapat melihat  matahari di sepanjang hari, 24 jam tanpa henti dan tanpa gelap dalam musim panas. Semakin kapal bergerak ke atas menghampiri kutub utara, menyeberangi garisan artik, semakin panjang masa untuk penumpang kapal melihat matahari di tengah malam. 

Bunyinya bagaikan tidak masuk akal. Kenapakah matahari tidak terbenam ke dalam laut sepertimana biasa kita lihat? Tidak ada sunset, cuma sunrise. Rupanya, apabila kita melepasi garisan artik di utara ataupun garisan antartika di selatan. Fenomena musim dan matahari berubah sama sekali. Saya pun takjub dengan kebesaran ciptaan tuhan. Selama ini, saya hanya berpeluang membacanya daripada majalah. Tak sangka, berpeluang melihatnya di hadapan mata. 

Jika di kutub utara, kita boleh menyaksikan aurore pada musim sejuk, iaitu enam bulan sejuk tanpa secalit cahaya. Kita boleh melihat matahari tengah malam pada musim panas selama enam bulan, tanpa secalit malam. Setiap enam bulan, fenomena ini bertukar. Enam bulan siang dan enam bulan malam. Bayangkan. Siang sepanjang masa selama enam bulan, dan malam selama enam bulan. Boleh depresi dibuatnya jika tidak biasa.

Bagaimana agaknya matahari malam ini membuat putaran "tenggelam dan menyinsing".

Mengumpan spot


Kami menunggu saat-saat bermakna ini di atas dek kapal paling atas. Dek paling istimewa yang saya ceritakan sebelum ini. Kami mahu merakam detik bersejarah ini sebaiknya buat kenangan seumur hayat. Itulah janji kami awal-awal lagi apabila datang ke sini.

Sebaik sahaja selesai makan malam, dek sudah dipenuhi oleh tetamu-tetamu kapal. Sukar hendak mencari "spot" sesuai untuk merakam matahari tengah malam. Sebenarnya, kami hanya ada satu malam saja peluang untuk melihat matahari itu. Jadual pelayaran kami tidak berapa tepat dalam musim panas, sipi-sipi musim panas. Jadual pelayaran dalam musim panas tersangatlah mahal belanjanya. Sipi pun sipilah, ini saja yang kami mampu.

Jadi misi kami pada malam itu sungguh jelas. Sebaik sahaja habis makan malam, kami bergegas turun ke kabin dan membawa semua keperluan seperti kamera, videocam, jajan, air minuman, selimut tebal dan tidak lupa juga buku cerita. Menanti dengan penuh sabar, hingga ke jam tepat 12 tengah malam. Perlahan-lahan tetamu kapal beransur kurang di dalam dek. Mereka tidak mampu bertahan dan masuk ke kabin untuk berehat. Inilah peluang keemasan kepada kami berdua untuk mengambil alih tempat strategik mereka. 

Pasti ada yang bertanya, mengapa tetamu kapal tidak berdaya menunggu ke detik jam 12 malam seperti kami. Jawapan yang terfikir oleh saya ialah mereka mempunyai banyak wang untuk datang semula ke pelayaran Hurtigruten. Mungkin ramai yang berasal dari negara Skadinavian, jadi mudah bagi mereka untuk mengulangi pelayaran midnite sun. Tidak seperti kami berdua. 


Satu lagi, hampir 90% daripada tetamu kapal adalah terdiri daripada orang-orang pencen dan veteren. Usia tetamu-tetamu pencen ini tidak semuda dan bertenaga seperti saya dan suami. Kebanyakannya melebihi usia 65 tahun. Rata-rata, mereka dalam misi percutian pencen. Lebih tepat, menghabiskan duit pencen yang selama ini dikumpul. Jadi, mereka relaks saja berbanding kami yang mempunyai misi yang agak spesifik. Atau mereka mungkin akan berpatah balik ke pelabuhan Bergen di awalnya, jadi mereka ada banyak masa lain untuk menyaksikan midnite sun.

Manakala kami tidak bercadang untuk berpatah balik.



Spot Anggun



Midnite Sun-NordKapp
Imej Google

Kelesuan tetamu veteren memberi peluang pada saya dan suami, melompat dari sofa ke sofa hingga mendapat "spot" yang paling anggun! Sofa empuk kami mengadap ke laut lepas dan berselindung di sebalik dinding kaca tebal berlapis. Memisahkan angin kutub utara daripada menyapa tubuh kami yang sudah sedia kesejukkan. Berbaju tebal, berselimut bulu masih belum mampu menahan kesejukkan yang dirasai. Tambahan pula perut kami yang kekenyangan, lokasi dan posisi ini sangat sesuai untuk kami berdua hanyut dalam mimpi. Saya terlelap buat beberapa kali. Setiap kali itu juga, suami menyuruh saya minum air panas untuk kekal segar. Suami gigih berjaga dan bertarung dengan mata yang semakin kelat. 


Dia mengejutkan saya sekali lagi, di saat matahari benar-benar terpacak di atas permukaan laut pada tepat jam 12 malam. Saya cuba menghayati detik itu sebaik-baiknya. Cuba merakam segalanya dalam fikiran agar boleh dikongsikan bersama. Perasan saya pada waktu itu, penuh kekaguman pada kebesaran Ilahi.

Keadaannya seperti menanti matahari tenggelam ke dalam laut pada waktu senja. Kebiasannya, bola cahaya akan hilang bagaikan masuk ke dalam lautan. Tetapi, pengalaman ini berbeza. Bola matahari membuat u-turn tanpa tenggelam dan terus menyinsing fajar. Ya, tidak ada sunset tapi terus sunrise. Bagaikan tidak wujud waktu isyak dan kami kehabisan waktu subuh. Ajaib! 

Bagaimana agaknya kami bersolat?

Semuanya terakam indah dalam kotak memori. Bersama rakaman videocam sebagai simpanan karun kami berdua. 

NordKapp

Destinasi NordKapp adalah daratan paling utara dalam peta dunia. Kami membuat excursion untuk ke lokasi ini. Menaiki bas bersama penumpang-penumpang lain. Ada sebuah kedai cenderahati di kawasan berdekatan. Kami memahat pengalaman ini dengan membeli sekeping sijil pengiktirafan, kami sudah menjejak kaki di daratan paling hujung di atas dunia.

Di atas sijil itu terpahat nama kami berdua dan tarikh bersejarah kami di lokasi, bersama dengan stamp 'NordKapp'. Saya juga membeli sebuah mug sebagai tanda kenang-kenangan. Entah bilalah kami dapat mengulangi detik ini sekali lagi. Mungkin inilah kali pertama dan terakhir.

Kata suami, kami akan menaiki cruise ke selatan selepas ini.

Thursday 30 November 2017

Point of View- POV

Teks: Anie-Alja
Siapa Bercerita?



Perkataan ringkasnya adalah POV; menjawab soalan, siapakah yang bercerita?

Penulis perlu memilih POV yang sesuai dan serasi untuk berkongsi cerita. Syaratnya, satu POV untuk keseluruhan penceritaan yang ditulis. Tidak boleh bertukar-tukar POV kerana ia akan mengelirukan pembaca.

Ada tiga POV yang selalu digunakan dalam penulisan iaitu POV-orang pertama, kedua dan ketiga.

Lihat fotoinfo di atas.

Pertama

Orang yang bercerita itu mungkin diri sendiri iaitu POV-PERTAMA. Contohnya, kita bercerita tentang pengalaman mengikuti rombongan sekolah ke Pulau Tioman. Apa yang dialami dan dirasai, sepanjang waktu dalam aktiviti rombongan itu. Kita melihat guru-guru memberi arahan pada pelajar. Kita menjadi saksi bagaimana kecohnya para pelajar sewaktu berkumpul untuk menaiki bot di jeti. Kita alami dan berkongsi, betapa letihnya badan dihayun ombak laut dalam perjalanan ke pulau. Ini semua adalah sudut pandang diri kita sebagai penulis.

Dalam sudut pandang ini, kita HANYA TAHU apa yang kita fikir, alami dan rasa. Kita tidak tahu apa yang ada dalam fikiran guru-guru. Kita tidak dapat menjangka, apa pandang orang keliling pada rombongan sekolah kami. Jadi, jangan melompat dalam fikiran orang lain, seolah-olah kita ada kuasa sakti atau berlagak seperti tuhan.

Kita selalu menggunakan POV ini semasa mula belajar menulis di sekolah; saya, saya, dan saya.

Kedua

POV-KEDUA, selalu digunakan dalam penulisan berbentuk arahan dan nasihat. Contohnya, anda dikehendaki mengikut arahan. Kalian diminta untuk bersiap sedia sebelum masuk ke bengkel kami. Kebanyakan ayat-ayat arahan menggunakan pov ini untuk memberitahu. Penulis memberitahu pembaca dan memanggil mereka dengan kata ganti diri kedua; anda, awak dan kalian.


Ketiga

POV-KETIGA adalah sudut pandang orang lain yang tidak ada di dalam kisah. Seakan-akan kisah itu ditulis orang seseorang yang berada di luar cerita yang dikongsikan. Kata ganti diri ketiga seperti dia, mereka atau nama watak digunakan dalam penulisan ini.

Bagaimana pun, POV-ketiga ada dua kategori iaitu terhad dan tidak terhad. Dalam POV-ketiga terhad, penulis hanya bercerita dari satu sudut pandang sahaja. Contohnya, watak pertama dalam sesebuah kisah. Sebagaimana pov-pertama, penulis dapat menyelami perasaan watak pertama tetapi menggunakan nama watak dalam penulisan.

POV-ketiga tidak terhad mempunyai autoriti yang lebih luas dan harus digunakan dengan berhati-hati. Penulis seolah-olah dapat masuk ke dalam hati dan fikiran semua watak yang ditulis. Penulis bukan sahaja mendapat kebenaran masuk ke dalam minda watak pertama, tetapi juga watak-watak sampingan. POV ini tidak begitu mudah ditulis kerana peluang untuk mengelirukan pembaca adalah tinggi. Tetapi sebagai penulis yang sudah matang, boleh saja untuk cuba menukar gaya menulis.

Tidak ada yang salah bila kita masuk ke dalam dunia kreativiti.

Kita bukan brain surgeon.


Wednesday 22 November 2017

Perasaan Dalam Memoir

Teks: Anie-Alja
What should I feel?
Koleksi Anie-Alja

Kerjaya yang melibatkan seni sentiasa mengundang tafsiran berbeza daripada setiap orang.

Pernah rasa, lukisan potret Monalisa tidak secantik mana pada pandangan jahil kita? Kita mungkin menilai wajah muram Monalisa, tetapi tidak pada campuran warna atau seni berus yang menghasilkan potret wajahnya. Manakan sama kecantikan perempuan kurun terdahulu berbanding pelakon Hindustan, Kajol pada zaman kini. Jadi, kejelitaan Monalisa mungkin tidak dapat diraikan oleh semua orang, termasuklah saya yang buta seni.

Atau mungkin bukan kejelitaan wajah Monalisa yang menjadikannya popular tetapi riak sedih, di sebalik wajah itu yang menghantui para peminat. Siapa tahu?

Begitu juga perasaan kita apabila membaca sebuah memoir. Walaupun penulis mengangkat sebuah nilai sejagat, contohnya kekuatan hubungan adik-beradik, tetapi tidak semestinya pembaca akan menyanjungi nilai yang sama seperti yang diketengahkan oleh penulis. Pembaca mungkin mendakwa nilai kerjasama dan persefahaman itu lebih unggul pada tafsiran mereka. Atau pembaca melihat nilai kontra seperti cemburu dan iri hati lebih menangkap pada kefahamannya.

Kita Rasa

Dalam erti kata lain, kita rasa apa yang kita rasa. Bak kata Nick Flynn, bukan kerja seorang pengkarya untuk beritahu apa yang patut orang lain rasa. Pembaca akan rasa apa yang perlu dia rasa. Bukan tugas penulis untuk memberitahu apa yang patut dia rasa.

Percaya atau tidak, ini adalah peringatan terbaik buat kita sebagai penulis kerana kita tidak tahu bagaimana penerimaan pembaca di atas karya kita. Maksudnya, kita harus berlapang dada dengan respons yang bakal diterima. Setengah pembaca mendapat nilai lain daripada apa yang kita cuba ketengahkan dalam memoir.

Contoh terdekat adalah memoir Mayang Sari. Sebagai penulis saya membawa nilai keadilan yang tidak mungkin tercangkup oleh akal fikiran seorang manusia. Pengetahuan kita berbatas, kita tidak tahu semua yang berlaku dan tidak berhak menghukum ataupun mengadili. Pengajaran diakhirnya, saya menjemput semua pembaca mengakui kita manusia hanya seorang hamba. Tidak lebih dan kurang.

Tetapi cuba baca ulasan kawan-kawan yang membaca naskah memoir Mayang Sari, rasa mereka berbeza antara satu sama lain. Mungkin seorang atau dua sahaja yang benar-benar dapat menangkap nilai yang cuba saya angkat dalam memoir ini.

Baca Ulasan MS

Kita adalah apa yang kita ALAMI dan kita adalah apa yang kita RASA.

Tidak ada yang sia-sia, semuanya adalah refleksi diri sendiri.

Sunday 19 November 2017

Apa itu naratif?

Teks: Anie-Alja
Naratif?

Imej Google

Dalam sebuah penceritaan harus ada naratif dan dialog. Naratif mengandungi lima asas di dalamnya menjadikan sebuah kisah itu hidup; penuh penghayatan watak dan keindahan persekitaran, berubah-ubah perspektif mengikut karektor dan menawarkan 1001 rasa kepada pembaca. Melalui naratif, kita tahu bila dan di mana kisah ini bermula dan berjalan. Melalui naratif kita mengenali watak-watak di dalamnya. Melalui naratif juga kita mampu faham tema sejagat yang cuba disampaikan oleh penulis. Bersama watak, tema dan plot, pembaca dilambung emosi bersama mood yang dijalin kemas dalam sebuah kisah.

Setting adalah landasan di mana kisah kita mula berlayar. Ia perlu ada lokasi, tahun dan zaman kisah itu bermula. Katalah kita mahu menulis tentang kisah terkenal Hang Jebat dan Hang Tuah, lokasinya jelas di sebuah negeri bernama Melaka. Zaman pemerintahan sultan Melaka yang berapa? Cara mereka hidup, makan dan berpakaian. Apakah cerita rakyat yang popular pada zaman itu? 

Apa saja persekitaran dan suasana boleh ditokok bagi menambah pengalaman dan pengamatan pembaca.

Kebiasaannya, kisah Hang Jebat dan Hang Tuah berkisarkan nilai persahabatan. Dalam dunia persahabatan akan dilengkari dengan isu-isu kasih sayang, rajuk dan cemburu. Tema adalah satu nilai sejagat yang penulis angkat dalam sebuah penulisan. Kisah Hang Jebat dan Hang Tuah mengangkat nilai kejujuran antara dua sahabat, contohnya.

Karektor adalah watak yang berlayar dalam sebuah pelayaran. Hang Jebat dan Hang Tuah adalah watak yang beraksi dalam kisah ini. Mereka akan dilingkari isu dan konflik; berubah perasaan dan perspektif bersama kejadian yang berlaku di keliling. Watak akan berinteraksi dan memberi maklumbalas dengan apa yang terjadi.

Plot adalah titik demi titik sesuatu kisah itu bergerak. Dalam pergerakan itu, apa cabaran dan konflik yang timbul. Satu demi satu, bagaimana watak menghadapinya dan rentetan apa yang berlaku kemudiannya. Plot ini yang menggerakkan sebuah kisah, bukan watak dan bukan tema. Plot yang laju dan fokus, menjadikan pembaca terikat pada buku yang ditulis.

Mood berubah-ubah mengikut plot dan karektor, dan ia menambah rasa kepada pembaca. Adakala, kita melihat Hang Tuah dengan rasa marah dan benci kerana menganiaya sebuah nilai persahabatan. Ada rasa sedih dengan watak Hang Jebat yang cuba membela nasib seorang abang yang disangkakan dianiaya oleh sultan. Mood bertanggungjawab menerbitkan rasa sayang, emosi, empati, benci dan 1001 kepada pembaca. 

Saya berani katakan, mood ini akan tinggal lama dalam diri pembaca apabila mereka selesai membaca. Bak kata Mark Twain, A success book is not made of what is in it, but what is left out of it.


Thursday 16 November 2017

Dialog Dalam Memoir

Teks: Anie-Alja
Perlukah dialog?

Koleksi Anie-Alja


Pertama kali saya menghantar memoir untuk disunting oleh seorang editor bebas, dia memberi maklum balas yang manuskrip saya tidak menarik kerana tidak ada dialog yang banyak. Katanya, sebuah kisah harus ada dialog. Lagi banyak lagi bagus, kerana ia mengikat pembaca pada jalan cerita.

Baik, saya akui saya tidak ada ilmu dalam penulisan novel fiksyen dan kurang membaca buku fiksyen sama ada dari penulis dalam atau luar negara. Jadi, saya tidak mampu berbalas pandangan dengan editor bebas itu. Jawapan pendek saya, "Manuskrip ini saya akan self-publish, dan saya harap saya boleh menulis ikut rentak yang saya suka."

Malangnya, ada sebab tertentu kami tidak dapat bekerjasama. Perbezaan ini memberi ruang kepada saya untuk melihat secara terperinci akan keperluan dialog dalam sesebuah manuskrip.

Dialog dan Manuskrip

Seorang editor dari barat mengatakan, ramai penulis amatur pandai menggunakan dialog dalam penceritaan tetapi lemah naratif dalam penulisan. Beliau mencabar penulis menarik buang dialog, dan lihat sama ada cerita yang ditulis itu masih 'make sense' atau tidak. Jika tidak, dialog itu tidak memberi sebarang kesan pada pembaca.

Tugas dialog dalam penceritaan adalah memberi bonus dan impak kepada pembaca, tanpa mengenepikan unsur naratif; nada, plot, tema dan suasana dalam penulisan.

Dialog memberi kesan extra pada pembaca, tetapi kelemahan naratif tidak boleh digantikan dengan rentetan dialog dalam manuskrip.

Dialog dan Memoir

Sebagai pembaca dan peminat memoir, saya berani katakan dialog bukan unsur penting dalam penulisan ini. Ya, pemerhatian saya disokong oleh guru memoir Beth Kephart walaupun beliau mempunyai alasan yang berbeza.

Sekiranya penulisan kita terganggu dengan alasan kita tidak ingat dialog yang mungkin berlaku 20 tahun lalu, do not sweat. Just keep writing, just keep writing.

Dan jika ada editor yang menyoal tentang isu ini, kita tahu dia bukan seorang pembaca memoir. Carilah editor lain.

Wednesday 15 November 2017

Nilai Dalam Memoir?

Teks: Anie-Alja
Simple Truth

Koleksi Anie-Alja


Bilakah penulis tahu dia bersedia untuk menulis sebuah memoir?

Memoir bukan kisah kesusahan mencari rezeki.
Memoir bukan kisah kebencian anak kepada ibu tiri.
Memoir bukan kisah dendam seorang isteri kepada suami.

Memoir adalah sebuah kisah kasih sayang antara manusia.
Memoir adalah sebuah kisah perjuangan hingga ke akhir hayat.
Memoir adalah sebuah kisah nikmat hidup yang disia-siakan.
... dan senarai ini bertambah.

Penulis Memoir bukan...

Tuhan yang menghukum watak.
Prejudis dan berat sebelah pada karektor watak.
Hero yang sentiasa menang.
Pendebat yang membuktikan orang lain semua salah.






Tuesday 14 November 2017

Bulan Madu ke Artik-2

Teks: Anie-Alja
Bulan Madu di Lautan Biru



https://www.hurtigruten.com/destinations/norway/classic-voyage-north-bergen-kirkenes/
Imej Norway Cruise




Baiklah, seperti yang dijanjikan, apa kata kita mulakan dengan ilustrasi kapal Sr. Richard With. Sebagaimana yang dinyatakan sebelum ini, kapal cruise kami mempunyai lima tingkat. Ia bukan hanya dipenuhi oleh ratusan kabin tetapi dilengkapi juga dengan kemudahan lain seperti restoran, gym, kedai serbaneka, bilik TV, bilik bacaan, bilik mainan anak-anak. Lokasi paling hebat terletak di tingkat paling atas. Dek tertutup berhawa dingin, berlangitkan lampu-lampu halus berona biru seperti bintang-bintang kecil bergemerlapan di angkasa. 

Secara peribadi, saya sukakan dek ini kerana kita mampu melemparkan pandangan seluas lautan yang terbentang di depan mata. Sejauh mata memandang kata orang tua-tua. Di sinilah kami menyaksikan keajaiban ciptaan tuhan. 

Matahari di tengah malam.

Selesai melawat kabin yang terletak di tingkat paling bawah, kami pun mengambil kesempatan membuat rondaan pada setiap tingkat yang ada di dalam kapal. Tidak dapat dinafikan, pengalaman di dalam kapal ini, sedikit sebanyak mengimbas kembali kisah manusia angkuh dalam sejarah terhebat dunia. Kisah tenggelamnya kapal termasyhur Titanik di lautan Atlantik. Sakit perut di saat terkenangkannya. Setiap detik genting yang dilalui oleh hero dan heroin dalam kisah itu hingga ke penghujung. 

Apabila saya menyuarakan rasa risau dalam hati, suami mengusir rasa tidak senang dengan menjawab, " Hello ini tahun 2001... Sebelum terlanggar bongkah ais, kapal dah boleh mengelak." Suami jawab dengan muka konpiden. Entah betul, entah tidak...saya iyakan saja. 


Kerisauan itu masih belum hilang apabila terlihatkan perahu-perahu keselamatan yang tergantung di sisi kapal. Bagaikan tidak cukup jumlahnya. Maklumlah, jika hendak dibandingkan dengan jumlah penumpang yang ada di dalam kapal ini. Bukankah, perkara ini juga yang disuarakan oleh Kate Winslate dalam kisah Titanik? Saya masih bimbang tetapi mengambil keputusan untuk berdiam diri.






Jiran Meja Makan

Kami diberi informasi ringkas tentang peraturan dan jadual makan di dalam kapal sepanjang tempoh pelayaran. Lokasi meja dan kerusi di restoran, tidak membolehkan kami duduk di mana sahaja yang kami suka. Maksudnya, meja kami sudah dipilih dan ditentukan awal-awal lagi oleh pihak admin kapal. Meja makan kami berhampiran dengan sebuah tingkap luas, mengadap ke laut lepas. 


Kami duduk berhadapan pasangan suami-isteri tua di awal usia 70an. Mereka berdua kelihatan ramah, redup matanya dan tinggi susuk tubuh badannya. Kami berusaha untuk berkomunikasi tetapi menemui jalan buntu apabila mereka tidak faham atau fasih berbahasa asing, selain berbahasa Norway. Bagaikan ayam dan itik, kami bertukar kisah tentang latar belakang diri dan bersapa mesra setiap kali duduk di tempat makan yang sama. 


Apa yang saya ingat, mereka bercerita, ini adalah hajat mereka untuk berada dalam trip kapal Hurtigruten. Mereka sanggup menabung bagi merealisasikan impian itu. Pasangan tua itu mempunyai tiga orang cahaya mata dan semuanya telah menjalani hidup sendiri. Hingga ke akhir perjalanan, mereka berdualah yang menjadi pasangan meja kami semasa menikmati sarapan pagi, makan tengahari dan makan malam.

Tabiat orang putih bila makan malam, mereka ada memakai pakaian yang smart dan menawan. Walapun kebanyakan mereka sudah berusia, tapi masih kelihatan segak dan bergaya. Baik lelaki atau perempuan, masing-masing melaram setiap malam sewaktu makan.



Makan Sedap

Sarapan pagi di atas kapal Hurtigruten adalah saat yang paling dinanti-nantikan. Kami makan sepuas hati. Kebiasaannya, menu makan tengah hari tidak sesedap dan tidak banyak pilihan seperti menu sarapan. Menu pagi datang dari pelbagai negara seperti sarapan dari Amerika, Britain dan Asia. Jangan terkejut, kami dapat melayan perut dengan nasi goreng ala Indonesia dan sandwich ala Malaysia. Alhamdullilah, ada pilihan untuk tetamu vegetarian. Sememangnya, Norway adalah sebuah negara perikanan, jadi kami menjamu selera sepuasnya dengan makanan laut yang disediakan. 

Pernah sekali, saya tidak berselera untuk menjamah makanan tengah hari yang disediakan. Chef keluar dari dapur dan datang menghampiri meja, bertanya sama ada dia boleh menyediakan menu yang saya inginkan. Termalu dengan kelakuan sendiri, tetapi dalam masa yang sama rasa dihargai.  Chef  kembali ke meja saya dengan menu baharu, lain daripada penumpang lain. Nasi goreng dari Indonesia. Walla

Bersambung...








Kemanusian Dalam Memoir

Teks: Anie-Alja
Don't run from it.


Koleksi Anie-Alja

Kata seorang penulis memoir Anne Lamott, dia tidak mahu mendengar atau membaca tentang sebuah kisah hidup yang sempurna tanpa pengalaman luar biasa.

Jika ada kisah budak didera mak ayah dan dia melarikan diri dalam hutan. Bertembung pula dengan seekor harimau dan akhirnya berjaya menyelamatkan diri daripada buruan binatang buas, barulah berbaloi untuk pembaca mengetahui kisahnya.

Kenapa pembaca perlu membuang masa mendengar kisah anak yang dididik baik oleh mak ayah? Isteri yang dijaga rapi keperluan dan ditatang kemahuannya oleh suami? Atau kisah usahawan yang berjaya menyambung tradisi perniagaan keluarganya yang kaya raya?

Apakah nilai atau kesamaan yang dicari pembaca daripada kisah begitu? Nilai apa yang dapat pembaca pelajari daripada kehidupan mewah seorang anak menteri yang segala kemahuan materialnya terhidang di hadapan mata? Ya, kita mungkin dapat mengenali beberapa jenama jam tangan mewah digilai artis, tetapi untuk apa?

Menarik, sebuah karya memoir menyentuh hati pembaca melalui kisah-kisah duka dalam kehidupan. Kita akan menilai pengalaman orang lain sambil membandingkan kelemahan diri, dan mencari titik serasi. "Ohh... aku faham rasa kehilangan itu. Ohh, ngilunya hati bila dikhianati. Ya, aku tidak keseorangan melalui penderitaan ini."

Sedar atau tidak, inilah nilai-nilai yang menyatukan perasaan sesama manusia.

Jadi, tidak dapat tidak, penulis tidak mungkin boleh lari daripada menulis sesuatu yang mencengkam jiwa. Meluahkan rasa hampa, kecewa dan marah dalam jiwa agar emosi itu dapat dipindahkan kepada pembaca. Agar pembaca dapat merasai kekalutan jiwa yang ditanggung penulis. Pembaca dapat memahami perspektif yang mahu disampaikan.

Dan pembaca rasa apa yang penulis  itu rasa.

Cerita mu cerita ku jua.
Rasa mu rasa ku jua.

Inilah keindahan sebuah memoir.



Monday 13 November 2017

Bulan Madu ke Artik-I

Teks: Anie-Alja
Bulan Madu Di Laut Biru


https://www.fjordtravel.no/destination-norway/picture-gallery-bergen/
Bergen-Norway


Sebenarnya, saya sedang rindu. 


Rindu mahu menikmati panorama luar negara, mengintai angin musim gugur yang menghampiri musim salju. Rindu mahu menyarong baju sejuk tebal, bertermal di dalamnya, bersarung kaki dan berkasut kalis air. Rindu akan sapaan angin sejuk menggigil hingga ke tulang hitam, rindu akan bau keju cair bersama risoto atau pasta panas. 

Memang rindu!



Ketika rindu sedang menggamit, saya teringatkan perjalanan bulan madu bersama suami tersayang ke benua lain, satu ketika dahulu. Hampir 16 tahun berlalu, kenangan itu masih terpahat di ingatan. Belum pernah saya mencoretnya di mana-mana. Jadi di kesempatan ini, saya mahu berkongsi pengalaman bulan madu kami di Norway, menyeberangi garisan artik, kutub utara, sepelaung dari Rusia.

Tidak pernah terfikir, bulan madu kami lain daripada yang lain. Suami memilih destinasi yang tidak mungkin tercapai oleh mimpi. Kami menyusuri bersama kapal cruise Hurtigruten jauh ke kutub utara, bersaksikan matahari di tengah malam hingga melewati kawasan darat paling hujung di peta dunia, Nordkapp.


Perjalanan ini bermula setibanya kami di lapangan terbang Arlanda, Stockholm, Sweden. Sedikit kesulitan berlaku bilamana tiket penerbangan kami tersalah jadual dan tanpa banyak bicara kami terpaksa membeli tiket baharu. Berusaha agar tidak terganggu oleh rasa marah dan kecewa. Ternyata ia satu isu di luar kawalan. 


Pada tengahari, kami mengambil penerbangan domestik ke Bergen, Norway. Destinasi perairan laut bagi meneruskan misi kecil kami menaiki kapal. 
Kami tiba di Bergen pada waktu tengahari dan sempat bersiar-siar mencari makan. Kami bermalam di hotel berhampiran bandar. Keesokkan harinya, kami menikmati panorama Bergen dan mengeksplorasi kawasan sekitar. Bergen adalah sebuah bandar pelabuhan yang terjaga rapi, beruarakan industri perikanan, bercirikan legenda troll dan tinggi taraf hidupnya. 

Hampir ke jam lima petang, kami tiba di pelabuhan Bergen bersama penumpang lain, bakal menaiki kapal yang sama. 


Kapal Sr. Richard With



https://www.cruisecritic.com.au/reviews/review.cfm?ShipID=425
Hurtigruten Cruise-Image



Kapal kami diberi nama Sr. Richard With. Jumlah kabin yang melebihi tiga ratus unit, bersusun rapi, bersebelahan dan bertentangan antara satu sama lain. Memenuhi keseluruhan lima tingkat lantai kapal. Kabin kami terletak di lantai paling bawah, suami kata yang paling murah. Bertemankan sebuah tingkap kecil berbentuk bulat, kami berada sedikit atas dari paras permukaan air laut. 


Hati sedikit terkilan kerana kabin ini terletak jauh ke bawah. Menyempit nikmat dari pandangan mata burung. Tetapi ia cuma seketika, setelah kami sedari banyak masa dihabiskan dengan berada di atas dan tidak di dalam kabin, kami rasa lega! Kabin hanya bersaiz kecil tetapi cukup dengan kemudahan seperti bilik air, dua tempat tidur, kerusi dan meja. Cukuplah untuk kami tidur dan bersolat di sepanjang perjalanan ini.


Sr Richard With adalah salah satu kapal yang terdapat dalam senarai kapal misi perlancongan Hurtigruten, Norway. Kapal-kapal ini berbeza dari segi saiz, kemudahan dan waktu ia berlayar. Jadi kita perlu tahu kapal manakah yang paling sesuai untuk ditempah kerana kemudahan yang ditawarkan mungkin berbeza mengikut saiz dan waktunya. 


Selain mempunyai nama dan kemudahan berbeza, aktiviti excursion yang ditawarkan juga berbeza. Kapal kami menyusuri setiap pelabuhan yang terletak di sepanjang perairan Norway selama 7 hari dan 6 malam. Bermula dari bandar pelabuhan Bergen, Alesund, Trondheim, Bodo, Tromso, Nordkapp dan Kirkeness. Tetamu kapal boleh menempah excursion di sepanjang laluan antara pelabuhan. Antara yang saya masih ingat, kami menempah dua daripadanya iaitu lawatan pendek ke Grand Fjord dan Nordkapp.


Elak Ayat Membosankan

Teks: Anie-Alja
Membangkitkan rasa


Imej FB

Adakalanya penulisan menjadi sangat mendatar, tidak ada rasa yang membangkitkan jiwa. Jika ia berlaku penulis digalakkan menggunakan elemen deria bagi membangkitkan rasa pada jiwa pembaca. Baca Deria Rasa

Contoh:

Rumah tua itu kelihatan terbiar dan menakutkan.

Rumah usang itu dikelilingi rimbunan pokok-pokok besar. Suasananya redup dan gelap. Daun tingkap terkopek dan terkehel dari luar, bagai diumpil dengan benda keras. Entah-entah, menjadi sarang penagih dadah bermalam. Gerak langkah saya menjadi laju setiap kali melintas di hadapan rumah usang itu.

Boleh juga dikatakan teknik show vs tell.

Latihan:

Mak saya sangat garang dan pentingkan diri.

Ayah semakin uzur dan tidak kuat untuk bangun sendiri.

Cuba gunakan deria untuk mengambarkan watak mak dan ayah di atas.

Sunday 12 November 2017

Jangan Cemarkan_Memoir

Teks: Anie-Alja
Don't try to please



Bila menulis memoir, akan ada hati-hati yang terluka. Baca Memoir Mengguris Hati

Sama ada penulis berniat menyakiti ataupun tidak, ia bukan satu pilihan. Ia adalah satu kemestian. Sebagai penulis memoir, kita belajar mengimbangi sifat karektor dengan keupayaan memahami,  berasa empati dan mengangkat tinggi nilai kasih sayang terhadap watak. Penulis tidak boleh menyerang watak, dan ia harus jelas dan nyata dalam penulisan.

Penulis mesti jujur berkongsi tanpa ada niat menyakiti. Dalam masa yang sama, penulis tidak boleh membodek watak agar kisah yang ditulis tidak tercemar. Maksud lain, kejujuran itu wajib dalam penulisan memoir dan mengampu watak boleh menjejaskan jalan cerita, walau apapun alasan di sebaliknya.

Bagaimana menulis watak seorang ayah yang bengis, kedekut dan kejam jika tidak mahu menyakiti hatinya? Bagaimana menulis watak kejam seorang ayah hingga pembaca mampu membayangkan karektor itu di hadapan mata, jika kita terkepit-kepit takut bercerita?

Adakah atas alasan takut menyakiti, penulis berselindung di sebalik kejujuran dan mengambil hati ayah? Tidakkah penulis menipu pembaca dengan ketakutan yang ada? Tidakkah penulis membuang masa pembaca, meneliti naskah yang tidak membawa apa-apa hubung kait dengan mereka?

Persoalan seterusnya, bagaimana penulis membangkitkan rasa simpati, empati dan kesefahaman pada diri pembaca jika dia sendiri tidak jujur pada diri.

Penulis harus menjawab soalan ini dengan jujur.
Tulis genre lain jika penulis masih berperang dengan diri pada peringkat ini.

Memoir mendambakan sebuah kejujuran daripada perspektif penulis. Apa yang dilihat, didengari, difahami dan disaksikan, dan ini semua adalah intipati dan harta karun dalam sebuah memoir. Kefahaman penulis mungkin salah, berbeza daripada orang lain tetapi apa yang berlaku ke atas kita adalah hak kita untuk menulis mengenainya.

Mencari titik tengah antara niat menyakiti atau berselindung untuk melindungi, pasti akan merosakkan jalan kisah. Memoir akan rosak jika penulis mahu membalas dendam pada watak. Memoir turut tercemar jika kita melindungi watak atas alasan tidak mahu menyakiti.

Jadi, apa titik tengahnya?

Elak menjadi tuhan, elak menghukum dan elak membodek. Ini semua faktor yang merosakkan penulisan sebuah memoir.

Lencana Karektor

Teks: Anie-Alja
Cebisan kisah daripada buku Moving Out


Koleksi Anie-Alja



Setiap sekolah mengamalkan nilai murni yang tertentu. Guru kelas bertanggungjawab menyemai nilai murni ini kepada setiap pelajar mereka. Pembangunan karakter adalah satu pendidikan formal di peringkat sekolah rendah. Nilai positif seperti tanggungjawab, hormat-menghormati, kasih sayang, amanah, jujur, dan pelbagai sifat mulia lain, diangkat sebagai satu nilai yang perlu diraikan dalam komuniti sekolah.

            “Umi, Dina dapat badge Penelope Pursuit!” Seronok anak saya apabila diiktiraf kelebihan mereka oleh guru.

            Lencana ini membawa maksud, pelajar mempunyai kualiti dalam memburu ilmu dan mempunyai komitmen tinggi demi mencapai potensi diri. Mereka mempunyai bakat dalam critical thinking. Sentiasa mengambil kira suasana sekeliling dan meraikan perbezaan pendapat dan cara fikir.

            Lencana Eddy Environment diberikan kepada pelajar yang prihatin dalam menjaga alam sekitar. Mereka mengambil berat tentang kebersihan dan menjaga persekitaran kelas dan sekolah. Pelajar ini diraikan atas sikapnya yang pembersih, ringan tulang, dan faham tentang keperluan kitar semula.

            Lencana Richie Respect diberikan kepada pelajar yang mempunyai sikap tolenrasi yang tinggi sesama individu. Selain sikap hormat menghormati, karakter ini juga menyanjung tinggi nilai integriti dan kejujuran, mengakui keunikan diri, dan meraikan perbezaan individu.

            Ini antara lencana yang dibawa balik oleh Dina dari sekolah rendah. Di akhir sesi persekolahan, pelajar yang mendapat lencana terbanyak akan diberi keistimewaan lain, seperti baucer aiskrim atau buku.

            Guru kelas mempunyai peranan besar dalam mempraktikkan nilai mulia ini. Guru akan membawa nilai ini dalam aktiviti harian di kelas, seperti menggalakkan para pelajar berkongsi barang, menunggu giliran, dan bersabar, sepertimana yang terkandung dalam sifat Richie Respect yang diraikan. Pelajar bukan sahaja menghafal sifat mulia seperti menyanyikan lagu kebangsaan, tetapi guru kelas akan memastikan mereka menjiwai sifat mulia itu dalam diri.

            Setiap subjek yang diajar di dalam kelas akan diberi nilai tambah mengikut karakter yang dipilih. Pengulangan dan latihan yang disemai oleh guru dilakukan secara berterusan tanpa jemu. Ternyata pendekatan ini memberi kesan positif kepada anak rebung yang dilentur. Kelak, mereka akan keluar bersosial di luar sekolah dan membawa akhlak ini hingga dewasa.


Koleksi Anie-Alja



Akhlak dari rumah

Benar, akhlak seharusnya bermula dari rumah iaitu ibu bapa, tetapi pengukuhan harus disokong oleh komuniti sekolah dan masyarakat sekeliling. Pengalaman saya mendidik anak dalam dua dunia berbeza antara sekolah dan rumah, tidak menjaminkan kesan positif. Mereka tidak mampu menyambung akhlak dari rumah, jika sekolah tidak meraikan nilai yang sama. Anak rasa malu, tersisih, dan lemah diketepikan. Jika anak kita yang hanya menunggu giliran, sedangkan orang lain tidak mengikut peraturan.

            Anak akan dibuli atau diremehkan jika mereka sahaja bercakap jujur, sedangkan pelajar lain bebas memanipulasi kawan sekelas. Guru yang sepatutnya mengangkat tinggi nilai kejujuran, tetapi mengambil sikap tidak endah. Kononnya, tidak mahu memanjangkan isu yang dianggap remeh. Kesannya, sangat negatif pada perkembangan emosi anak rebung yang baru mengenal dunia.

            Betullah kata cerdik pandai, kita perlukan sekampung untuk mendidik seorang anak. Dan inilah yang diamalkan dalam masyarakat tempatan di sini. Sifat gotong-royong dalam mendidik anak-anak sekolah dapat dilihat jelas dalam sistem pendidikan di sini.

            Pengiktirafan terhadap sifat murni ini memberi impak besar dalam pembentukan personaliti pelajar. Anugerah kecemerlangan tidak terbatas pada kecemerlangan akademik semata-mata. Mereka turut meraikan sifat positif yang ditunjukkan pelajar. Oleh itu, pelajar sekolah sentiasa berusaha dan bersemangat mempamerkan sikap dan kelakuan yang disenangi, kerana ia diiktiraf oleh orang sekeliling.

            “Satu, dua, tiga...sembilan, badge karakter yang Dina dapat. Best, kan!” Seronok sekali Dina menggantung lencana itu di dalam bilik tidurnya.

            Apabila anak bertukar sekolah pada tahun lepas, nilai murni yang diamalkan di sekolah baru sedikit berbeza berbanding dulu. Di sekolah ini, nilai murni yang diraikan adalah doing your best, respect, responsible, caring, compassion, bouncing back, dan getting along.

            Saya dapat lihat kesannya dengan jelas, anak-anak membawa nilai murni ini dalam kehidupan harian walaupun mereka berada di rumah. Mereka mempunyai set piawaian nilai, bagaimana seharusnya individu berkelakuan.

            “Umi, kena cakap terima kasih bila orang tunggu dan beri kita jalan.” Saya sering ditegur anak apabila tidak tunjuk rasa hormat pada orang sekeliling.



Thursday 9 November 2017

Cantas

Teks: Anie-Alja
Omit Needless Words

Imej Google_William Strunk, Jr


Maksud ringkas di sebalik ungkapan popular ini adalah penulis wajib potong atau buang perkataan bertindih dalam satu ayat atau satu perenggan. Agar penulisan tidak leweh dengan perkataan tidak perlu lalu memberatkan bacaan. Ini adalah teknik paling berkesan untuk menyunting manuskrip setelah penulis selesai menulis draf pertama.

Draf pertama penulisan diandaikan seperti kebun bunga yang terbiar. Seolah-olah, kita  membaling benih bunga dan membiarkannya tumbuh secara sukarela. Proses kedua iaitu penyuntingan di mana penulis akan mencantikkan kebun bunga dengan mencantas ranting atau tumbuhan tidak perlu. Meracun dan menarik keluar semua rumput-rampai yang menyemakkan kebun bunga.

Idea ini diperkenalkan oleh William Strunk, Jr dalam buku terkenal beliau Element of Style. Sebuah buku penulisan yang wajib dibaca oleh semua penulis di barat jika menghadiri kelas penulisan. Konsep ini diterima pakai secara meluas kerana ia menggalak penulis menilai karya sendiri sebelum dihantar kepada editor penerbitan. Dalam kata lain, penulis harus ada kebolehan mencantas ayat leweh, bertindih dan berulang. Menjadikan tulisan kita lebih jelas, terang, padat dan tepat.

Saya berlatih menggunakan konsep ini dalam penulisan artikel majalah. Kita semua sedia maklum, penulisan artikel mempunyai had perkataan tertentu. Jadi, ia satu platform terbaik untuk berlatih membuang perkataan lebihan supaya ayat kita lebih jelas dan padat.

Contoh perkataan leweh yang dicantas:

Buku yang dibawa adik diangkut saja ke mana-mana.
Adik membawa bukunya ke mana-mana.

Mesyuarat yang dibentangkan itu menceritakan tentang topik cuaca.
Mesyuarat itu membincangkan isu cuaca.

Persoalannya sama ada kita perlu atau tidak menjemputnya datang.
Kita perlu menjemputnya atau tidak.

Contoh lain boleh dilihat pada imej di bawah:

Imej Google

Wednesday 8 November 2017

Suri Terbaik

Teks: Anie-Alja
Suri yang terbaik?

Imej Google





'We have to be proud of who and what we are'.

Benar, saya suka dan bangga menjadi diri sendiri dan bergelar suri rumah. Tetapi saya tidak termasuk dalam kelompok taksub mendakwa suri adalah sebaik-baik kerjaya untuk seluruh kaum wanita.

Saya tidak percaya semua wanita harus meletak jawatan mereka dan memilih menjadi seorang suri. Saya juga tidak mengatakan setiap wanita harus mempunyai angan-angan menjadi pengurus domestik dan menindakkan impian sendiri. Saya tidak bersetuju jika ada berpendapat hati wanita adalah di rumah disamping suami dan anak-anak terchenta.

Kerjaya suri mungkin sesuai untuk saya tetapi tidak untuk semua wanita di luar sana. Persekitaran kita berbeza, keperluan kita tidak mungkin sama dan sokongan yang kita perolehi juga berlainan warna. Tidak mungkin saya menyatakan dengan sepenuh hati bahawa kerjaya ini adalah yang terbaik untuk semua wanita tanpa memperhalusi persekitaran, keperluan dan sokongan yang diterima.

Wanita tidak jauh beza daripada seorang lelaki yang mempunyai citarasa dan impian. Jika lelaki boleh diberi kebebasan memilih dan berangan-angan, mengapa kita perlu menidakkan naluri seorang wanita. Sesetengah wanita memilih tidak meletakkan hatinya di rumah bukanlah satu kesalahan dan kemampuan mereka tidak langsung berkurang berbanding kita yang memilih menjadi suri. Antara suri dan mereka adalah prioriti dan kita harus meraikan perbezaan tersebut.

Kagum

Saya kagum melihat wanita yang berusaha mengimbangi antara tugasan di luar dan dalam rumah. Ia ternyata tidak mudah. Saya sendiri tidak terbawa tugas di dalam rumah apatah lagi jika dibebankan dengan tugasan luar rumah. Saya angkat tangan mengaku kalah.

Jadi pada wanita yang berada dalam situasi begini sama ada pilihan atau terpaksa, mereka sebenar-benarnya adalah seorang pejuang. Raikan kekuatan, keunikkan dan kelebihan mereka, pada saya sangat luar biasa.

Wanita kerjaya tidak perlu memandang rendah pada diri sendiri lantaran banyak masa dihabiskan di luar rumah dan bukannya bersama anak dan suami. Masa bukan dieja dalam bentuk kuantiti tetapi kualiti. Kami mungkin berlebihan dari segi kuantiti tetapi jika gagal diawasi ia tidak mendatangkan manfaat pada anak suami mahupun diri sendiri.

Kelemahan manusia terutamanya suri, kita fikir masa adalah milik kita tetapi hakikatnya masa adalah pedang yang menyembelih sesiapa sahaja kecuali pada mereka yang bijak mengambil manfaat daripadanya. Suri ataupun mereka yang bekerjaya.

Penulis Memoir-II

Teks: Anie-Alja
Reason to tell





Kita semua ada kisah untuk ditulis, tapi tidak semua kisah layak dikategori sebagai memoir. Boleh rujuk pada perkongsian ini Penulis Memoir

Soal diri mengapa kisah penderaan emosi semasa muda, diangkat sebagai memoir? Harus ada sebab kuat untuk kita berkongsi. Mengapa perkongsian ini perlu, adakah dengan niat membalas dendam dengan memburukkan orang lain. Jika itu alasannya, jangan menulis memoir.

Pesan penulis Beth Kephart dalam bukunya Handling The Truth, pastikan alasan menulis memoir berlandaskan kasih sayang. Selagi kita tidak memahami erti kasih sayang, kita belum cukup matang untuk memulakan penulisan memoir.

Jika kita masih simpan rasa dendam, marah, berat sebelah dan benci, elak menulis memoir. Kita tidak mampu melihat nilai kasih sayang disebalik segala kekalutan yang terjadi. Kita masih kelabu menghayati pengajaran di sebalik penderitaan jiwa yang dialami. Kita belum bersedia menulis sebuah memoir.

Penulisan memoir adalah sebuah karya matang. Ia bukan karya mencari salah, membalas dendam dan membenarkan satu pihak sahaja. Kita bukan tuhan dan tidak menghukum watak-watak dalam karya kita.

Jika kita masih bergelumang dengan isu hati, sukar menerima dan tidak berdamai dengan diri dan takdir, tinggalkan dulu memoir. Tulislah genre lain.


Monday 6 November 2017

Memoir Mengguris Hati

Teks: Anie-Alja
Memoir hurt people


Koleksi Anie-Alja



Pahit itu pengajaran.
Ubat itu pemulihan.
Sakit itu peringatan..
Sesebuah memoir itu menyakitkan.

Apabila membuat keputusan menulis sebuah memoir, ia pasti menyakiti hati seseorang. Persoalan yang perlu kita soal pada diri adalah, is it worth hurting people.

Jika jawapannya tidak, dan kita tidak boleh jujur dengan perasaan sendiri. Jangan menulis memoir. Tulislah cerita fiksyen atau genre lain. Ia lebih selamat dan hati kita pun tenang.

Adakah kita berhak menyakiti atas alasan menulis memoir? Jawapannya tidak.

Ada banyak pros and cons, disiplin dalam menulis memoir yang akan dikongsi kelak. Jadi, sebelum kita melangkang jauh, tanya dulu soalan saudara Pat Conroy, seperti yang dikongsikan dalam buku Why We Write About Ourselves.

Walaupun kita tidak berniat menyakiti tetapi ia tetap menyakitkan. Jadi, penulis harus belajar seni mengimbangi kesakitan yang bakal memberi kesan pada orang keliling. Kita harus jujur pada watak-watak yang ada dalam penceritaan memoir. Kita tidak boleh berlagak seperti tuhan. Tidak boleh berat sebelah dan jauh sekali menghukum.

Kita bukan nak score point, bila menulis memoir.

Dalam kata lain, penulisan memoir adalah sebuah karya dewasa dan matang. Ia bukan sebuah karya dengan plot penceritaan semata-mata. Ia sebuah pengakuan terus terang, jujur dan tulus. Ia sebuah penulisan yang berani. Penulis wajib ada keseimbangan minda bersama tagline, 'nothing to lose'.

Selagi penulis tidak mencapai kematangan ini, penulisan memoir tidak sesuai untuk kita.

Bersediakah kita?


Ulasan Kelas

Teks: Anie-Alja
Ulasan Kelas Online ABDR



Alhamdulillah, syukur kepada Allah swt pada kesempatan ini.

Saya ingin berterima kasih pada teman FB, Puan Saniah yang memperkenalkan tim ABDR kepada saya beberapa tahun yang lalu.Ya, beberapa tahun yang lalu, barulah saya mengorak langkah pertama belajar secara berguru. Terima kasih juga kepada guru online Puan Anys atas bantuan dan tunjuk ajar hingga saya berjaya mempelajari selok-belok membuat borang tempahan dan sebagainya.

Sebagai anak murid online pada guru Puan Anys, saya berpuas hati dengan cara kelas ini dikelolakan. Saya dapati arahan yang diberikan dalam grup watapps mudah diikuti dan mesra pengguna. Lebih bagus lagi, dengan adanya interaksi dua hala dan maklumbalas yang cepat, ia memudahkan proses pembelajaran saya.

Guru online juga sentiasa melihat perkembangan ajaran yang diterima dan memberi contoh-contoh sesuai untuk kami lebih faham. Antaranya, beliau meminta kami merujuk pada blog rakan ABDR lain sebagai panduan.

Beberapa penambaikan yang saya boleh syorkan pada tim ABDR adalah buku ebook yang diedarkan itu disusunatur semula dengan sistem penomboran yang mudah. Semasa saya membaca maklumat dalam ebook itu, ia agak mengelirukan kerana nombor subtopik yang hilang di tengah jalan. Selain itu, diharapkan tim ABDR sudi meng-update status blog yang masih aktif. Tidak hanya menyenaraikan blog lapuk dan tidak mempunyai status terbaru hingga beberapa tahun lamanya. Ia amat membantu pelajar baru seperti saya untuk membina networking dengan pelajar terdahulu.

Lain-lain, saya berpuas hati.

Secara amnya, saya akan syorkan kepada sesiapa sahaja yang mahu belajar tentang dunia blogging. Marilah berguru dengan tim ABDR.

Sekian, terima kasih.




Sunday 5 November 2017

Lima Deria

Teks: Anie-Alja
Ayat dan Deria Rasa


Imej Google

Dalam seni penulisan novel atau bercerita, prinsip 'show not tell' sangat ditekankan bagi membangkitkan emosi dan jiwa pada pembaca.

Jika cantik, bagaimana bayangan yang muncul dalam mata pembaca.

Jika masam, bagaimana kecur air liur kita meleleh ketika menikmati jeruk mangga dalam minda.

Jika sedih, bagaimana hati kita sakit berdenyut-denyut atau ditusuk jarum peniti.








Kesemua deskripsi ini ditulis dan diluahkan dengan menggunakan lima deria rasa yang kita ada. Jika kita manusia normal yang pernah makan jeruk, pernah sakit hati dan gemar akan kesegaran aroma bunga ros, kita tentu dapat menghayatinya. Ia bukan sebuah penulisan tetapi penceritaan yang lebih hebat daripada sebuah filem.

Bagaimanapun, penulis amatur seringkali menyatakan deria 'apa' yang mereka gunakan semasa dalam proses bercerita. Ini menerbitkan jurang antara si penulis dan si pembaca. Manakala penulis profesional tidak menyatakan deria yang mana satu digunakan kerana mereka percaya pada kebijaksanaan pembaca.


Contoh ayat amatur atau TELL. Tiga deria dinyatakan jelas; hidung, mata dan mulut.

Saya menghidu bunga rose di taman, sungguh segar dan mengasyikan.
Saya lihat abang dan ayah bergaduh, masing-masing menyinsing tangan baju.
Saya menikmati masakan mak, sedapnya hingga menjilat jari.


Contoh ayat profesional atau SHOW. Pembaca tahu deria apa yang bertanggungjawab.

Bunga ros itu umpama baldu merah, gebu, mungil dan sebesar tapak tangan. Aromanya kuat menusuk dan saya teringatkan minyak wangi Elizabeth Arden yang dihadiahkan oleh mak setahun yang lalu.

Abang dan ayah semakin nyaring bersuara. Masing-masing sudah tidak betah duduk setempat, dan peluh jantan mula merecik membayangkan pergaduhan yang bakal tercetus.

Potongan kuih serimuka masih panas berwab, lembut dan kepala santan meleleh di tepi piring. Kecur air liur adik membayangkan kesedapannya. Haruman pandan mula menerawang ke udara menambahkan lagi keinginan yang tidak terperi.


Pasaran Memoir

Teks: Anie Alja Memoir Masih Rebung Ramai penulis tempatan memberi gambaran yang salah tentang seni penulisan memoir. Memoir bukan...