Sunday 29 October 2017

Dilema Usia 40an

Teks: Anie-Alja
Dilema Usia 40an

Masuk usia 40an kebanyakan daripada kita sudah matang, merdeka dan stabil emosi. Jika bekerjaya, posisi dalam syarikat dan gaji sudah lumayan dan boleh dibanggakan. Orang mula mengenali siapa kita di ofis; pangkat dan reputasi boleh berdiri sendiri dengan gah dan bangga. Pendek kata, masuk sahaja usia 40an. 'Our goodwill speaks on it's own'.
Imej Google

Kita dihormati dan diiktiraf berjaya dalam kerjaya dan kehidupan peribadi. Rumah besar, kereta mewah dan mempunyai kehidupan selesa. Anak-anak pula sibuk di sekolah, menunggu masa untuk ke asrama penuh atau universiti. Ini kehidupan normal yang kita boleh lihat pada mana-mana pasangan suami isteri yang masuk alam kedewasaan 40an.

Masa inilah kita menuai hasil penat lelah selama bekerja. Meraikan hasil dusun berkat kerjasama suami isteri melabur, menabung dan menyimpan selama ini. Dalam kelompok masyarakat, mereka diangkat sebagai keluarga yang berjaya dan patut dicontohi.


Mengutip hobi

Saya pula sebaliknya. Di usia begini baru terhegeh-hegeh mengutip sisa hobi yang tertinggal di belakang. Malangnya kepakaran diri yang masih belum boleh dibanggakan tetapi sikap 'tak kesah' kian menebal dalam jiwa. Jauh sekali ingin mengambil hati orang keliling, menjadikan perjalanan ini semakin beronak dan berduri. Sudahlah tidak ada kepakaran, pengalaman pula seciput tetapi berlagak diva. Itulah kata-kata tepat mengambarkan diri saya.

Srjujurnya saya tidak berlagak diva dan tidak kisah orang memanggil saya sebegitu. Cuma bukan dalam usia saya mahu ketagih, taksub dan kagum sesama manusia. Sudah puas melalui pengalaman itu, sudah puas disepak dan diketuk dalam usaha diterima oleh kelompok manusia yang dinamakan masyarakat.

Sudah puas senyum sumbing dan kambing apabila disisih kerana kurang layak bersama orang itu dan ini. Sudah berusia untuk kisah dan ambil perasan sama ada orang suka atau benci. Makin kurang tenaga nak melayan standard piawai dan pertandingan antara jiran dan masyarakat keliling.

Sebenar-benarnya saya sudah melepasi fasa itu, saya sudah kekeringan bateri untuk mengilai artis pujaan dan kawtow sesiapa pun demi perjuangan sebuah hobi. Saya tidak kisah sama ada diterima atau tidak, disukai atau dibenci, diterima atau diketepikan.

Bagaimana mahu mengumpul fan?

Thursday 26 October 2017

Penulis Memoir

Teks: Anie-Alja
What is a memoir?


Dalam sebuah kehidupan, akan ada satu fasa unik dan terpenting yang akan kita lalui. Fasa di mana kita belajar mengenali diri dari dalam dan menjadi seorang yang lebih matang. Fasa ini mungkin pendek, tetapi terpenting dan mengandungi pengajaran mahal kepada manusia.

Ia berbeza berbanding fasa lain dalam hidup, contohnya pengalaman menjaga orang tua atau suami yang menderita terminal illness. Fasa kita kehilangan pekerjaan dan berusaha berdikari dalam serba kekurangan. Fasa kehilangan orang yang dicintai atau kehilangan upaya badan untuk bekerja. Fasa di mana kita banyak mengenali kekuatan dan kelemahan diri, menjadikan siapa diri kita pada hari ini. Fasa yang mengubah cara kita melihat dunia dan menilai orang sekeliling.

Inilah uniknya penulisan memoir.

Pengalaman unik sama ada sedih, kecewa, duka atau perit menjadikan kita kuat dan lemah dalam ketidaksempurnaan. Seribu satu pengalaman yang mengandungi ibrah bagi mendewasakan dan mematangkan diri. Ia menjadi satu petanda yang kita adalah individu berbeza berbanding orang lain. Kita adalah apa yang kita alami dan rasai. Maka tentunya sejarah hidup berbeza antara setiap daripada kita.

Memoir tidak perlu bermula daripada tarikh lahir hingga ajal; tempat kita bersekolah atau pengiktirafan apa yang diterima bagi melayakkan kita menulis. Ia adalah cebisan kisah hidup yang memberi kesan maksimum pada jiwa. Fasa yang mengubah sudut pandang kita pada sesuatu kejadian sama ada sedih atau gembira. Fasa yang mencorakkan cara kita melihat dan berfikir tentang kehidupan lain selepas itu. Fasa yang banyak memberi kesan calar dan kudis dalam jiwa seorang hamba, isteri, anak atau sesiapa pun kita.

Inilah yang diangkat dalam sebuah penulisan memoir.

Kita mungkin seorang isteri yang kematian suami di usia muda, bagaimana kita bangkit memperjuangkan keperluan seorang balu dan ibu kepada anak-anak yang kehilangan tempat bergantung.

Kita mungkin seorang anak yang didera emosi dalam sebuah keluarga sederhana, mengajar kita menyelami hati-hati anak lain yang terbiar di luar sana.

Kita mungkin seorang petani, surirumah, guru atau sesiapa sahaja yang mempunyai kisah untuk dikongsikan. Secebis kisah yang memberi pengajaran, perkongsian, luahan rasa dan kebenaran yang dipelajari selama hidup di atas dunia.

Inilah yang bakal dikongsi dalam sebuah memoir.

Tidak ada dua, kita adalah apa yang kita alami.


Sunday 22 October 2017

Moonlight Cinema

Teks: Anie-Alja
Wayang Lambak Kings Park

Moonlight Cinema_FBphoto




Dulu-dulu masa menetap di kem askar, saya selalu ikut mak dan ayah menonton wayang lambak di padang sekolah. Ada sebuah van kecil meronda di kawasan rumah flat askar dan budak-budak berkejaran menghambat van. Pemandu meronda-ronda dan seorang lagi membaling flyers filem yang akan ditayangkan. Abang yang berusia tujuh tahun selalu membawa balik flyers ke rumah. Kami sering menagih simpati mak dan ayah supaya membawa kami menonton wayang. Antara filem yang saya masih ingat adalah lakonan pelawak AR Badol dan Hussein Abu Hassan sebagai pendekar jahat.

            “Wah, kawan umi kata ada wayang lambak kat sini...jom tengok!” Teruja saya bercerita dengan anak-anak tentang kenangan wayang lambak bersama tok dan tokwan.

            “Errr...wayang apa tu?” Soal Dina, muka berkerut tidak faham.

            “Wayang lambak...alaaa wayang yang kita tengok kat padang, ramai-ramai,” jelas saya.

            “Kat padang...kena beli tiket tak?” Akmal pula menunjukkan muka kelabu asap.

            “Yaaa, kena beli tiketlah...tapi kita tak tengok dalam panggung wayang macam biasa. Kita berkumpul ramai-ramai kat padang dan semua orang datang dengan barang-barang sendiri. Nak bawa bantal, kerusi, bean bag...suka hati. Bawaklah apa-apa saja kat padang tu nanti!” Panjang lebar saya menerangkan perihal wayang lambak kepada anak-anak.

            Ternyata penjelasan saya mengundang rasa ingin tahu dalam diri mereka. Anak-anak belum pernah lalui pengalaman pelik begini.

            “Tengok wayang kat padang...how weird is that!” Dina masih buat muka pelik.

            Seperti yang dijanjikan, kami mengumpul barang-barang untuk dibawa ke padang. Makanan yang dibawa cukup banyak, macam boleh duduk tiga malam. Seronok punya fasal, semua kami masukkan dalam beg piknik tahan panas.

            “Umi dah tengok weather forecast? Macam mendung nak hujan ja!” Soal suami.

            “Oh ya ka...alahai! Punyalah panas beberapa minggu ni. Tak aci betul,” komen saya.

            Wayang lambak tidak diadakan di sepanjang musim. Ia hanya berlangsung dalam musim panas hingga awal musim luruh. Jika terlepas musim ini, kami terpaksa tunggu hingga masuk musim panas di penghujung tahun hadapan. Lama tu!

            “Alaa...Dina nak tengok Kungfu Panda 3.” Dina menyampuk setelah mendengar perbualan antara saya dan suami.




Kings Park
Moonlight Cinema_FBphoto
 

Kami bertolak ke Kings Park selepas pukul 5.00 petang. Kaunter tiket beroperasi pada pukul 6.00 petang, jadi kami bergerak awal supaya dapat memilih spot paling sesuai. Kings Park adalah sebuah taman di dalam bandar yang terbesar di dunia. Keluasannya mencecah beribu ekar, tidak berdaya berjalan kaki dan harus diredah menaiki kenderaan.

            Bermacam-macam yang ada di dalam taman itu. Pusat rekreasi, kafe, tasik, padang permainan kanak-kanak, tempat memanjat, tapak konsert, dan tempat bersejarah muda-mudi melangsungkan majlis berkahwinan. Selain itu, Kings Park adalah lokasi paling tepat untuk merakam keindahan panorama bandar Perth dari pandangan mata burung.

            Pada musim bunga, di sinilah syurga buat pencinta-pencinta bunga liar. Pelbagai jenis bunga dapat kita lihat, cantik, unik, berwarna-warni, dan meliar di mana-mana sahaja.

            “Wah, dah ramailah orang datang.” Saya terkejut melihat kereta mula beratur mencari tapak parkir.

            “Cepat-cepat...angkut barang kita cepat!” Dina tidak sabar dan melompat turun dari kereta.

            “Apa kata...kita jangan angkut barang-barang tu dulu. Malu nanti orang nampak kita bawa bantal belang!” Suami beri cadangan, disertai gelak ketawa anak-anak.

            Kami berjalan mencari padang dan mengintai-intai di mana letaknya skrin putih.

            “Tak nampak bayang skrin pun!” Saya mula rasa pelik.

            Kami berpusing-pusing di situ untuk memastikan kami berada di tempat yang betul. Di mana letaknya kaunter? Nampak sunyi sahaja. Tadi ternampak banyak kereta yang parkir di luar, tapi kebanyakan pengunjung datang bermain di padang permainan, terletak tidak jauh dari situ.

            Kami ternampak kontena berwarna hijau, ramai juga orang berkumpul di situ. Kami berempat menghampiri kontena itu dan terbaca papan tanda yang diletakkan di tingkap kaunter.

            Ia berbunyi ‘Kungfu Panda 3 has been cancelled due to Adverse Weather Conditions.’

            Terkebil-kebil kami memandang sesama sendiri. Saya terpaku membaca papan notis itu. Mendongak melihat langit yang mendung, tapi tiada tanda-tanda akan hujan. Wajah Dina muncung masam tidak berpuas hati.

            Akmal gelak tarik nafas lega, “Nasib baik kita tak angkut bantal belang!”

            Dalam kecewa kami tergelak sesama sendiri apabila melihat orang lain beria-ia mengangkut sleeping beg, bean beg, kerusi camping, meja, bakul piknik, khemah, dan segala mak nenek. Semua berwajah hampa apabila mendapat tahu wayang Kungfu Panda dibatalkan. Penganjur ada menghantar mesej pembatalan tetapi ia agak lewat, iaitu lapan minit sebelum kaunter tiket dibuka. Ramai meluahkan rasa tidak puas hati.

            “Jom balik!” Saya bersuara perlahan tanda kecewa, tidak ada mood.

            “Jom carik wayang lain, ada lagi satu kan?” Tiba-tiba suami memberi cadangan tidak masuk akal.

            “Ada...tapi tak tahu kat mana. Nak kena bayar tiket lagi. Dah la mahal!” Saya menjawab acuh tak acuh, masih kuciwa.

            Percaya atau tidak, kami berjaya mencari wayang lambak lain tidak berapa jauh dari lokasi Kings Park. Ia terletak di Burswood dengan bantuan mak cik Google dan pak cik Waze. Ia dikenali sebagai Community Cinema McDonald dengan bayaran berpatutan. Kami mendapat spot menarik iaitu di bawah lampu projektor filem. Jadi, ia agak terang untuk kami menyiapkan tapak menonton. Suami menghampar tikar piknik, membuka bekalan makanan, menyusun kerusi camping, dan bantal belang menjadi rebutan antara anak-anak dan suami. Saya dan Dina bersiap-siap ke tandas sebelum wayang bermula. Macam pergi berkelah di tepi pantai rasanya.

            Padang di Burswood tidak sebesar dan secantik di Kings Park. Pekerjanya terdiri daripada mak cik dan pak cik tua, bersesuaian dengan konsep menonton sambil menderma. Itu sebab agaknya, tiket di sini lebih murah berbanding di Kings Park. Pada penonton yang membayar lebih, mereka menonton di bahagian hadapan bersama bean bag serta mendapat layanan istimewa seperti penghantaran makanan dan minuman semasa menonton.

            Pengunjung lain juga boleh menyewa bean bag di situ. Kebanyakan penonton adalah seperti kami, mengangkut segala yang ada untuk menjimatkan kos.

            Anak-anak seronok melalui pengalaman pertama dan unik sebegini. Kami semua berjaya menonton Kungfu Panda 3 pada malam itu, tanpa setitis hujan.

            Dalam diam, kenangan saya bersama emak dan arwah ayah bermain dalam fikiran semasa menetap di kem askar. Ternyata, saya rindukan mak dan arwah ayah. Tidak sangka, saya boleh ulang kenangan ini bersama keluarga sendiri.






Saturday 21 October 2017

Mula Menulis

Teks: Anie-Alja
Bagaimana mula menulis?

Imej Google



Bagaimana mahu mula menulis?

Jawapannya MENULIS.

Janganlah berangan mahu menulis, tetapi basuh pinggan dan berkebun saja kerjanya.

Apakah prasyarat menulis? Kata guru penulisan di ITBM, baca, baca, baca, baca dan TULIS. Bak kata Stephen King, susah mempercayai seseorang yang malas membaca tetapi menjangka pembaca akan menyukai hasil tulisannya. Jadi, prasyarat menulis adalah membaca dalam nisbah 4:1.

Setengah penulis veteran mengatakan, aktiviti menulis ibarat kita menunggang sebuah basikal. Kita harus mengayuh supaya badan boleh seimbang dan basikal terus meluncur maju ke hadapan. Jika kita terlalu berhati-hati dan takut melakukan kesilapan, kita tidak mampu mengayuh basikal apatah lagi meluncur laju dengan keseimbangan badan. Ia agak mustahil.

Jadi, buka laptop dan mulalah menulis.


Imej Google




Penulis hebat

Secara peribadi saya suka penulis yang menjual idea pada pembaca. Penulisan ada pelbagai kategori atau genre. Ada yang suka menulis tentang laporan seperti hobi, lawatan lokasi, catatan pengalaman hidup, novel fiksyen, puisi, anekdot atau pelbagai jenis penulisan lain. Apa pun kesukaan genre, kita harus rajin menulis.

Penulis hebat pada saya adalah mereka yang besar peribadinya iaitu berani dan jujur dalam penulisan. Mereka berani mengetengah idea sendiri tanpa berselindung atau takut-takut, bimbang tidak diterima. Bung Hamka mengatakan, mereka yang hebat peribadi bukan daripada kalangan hamba kitab. Bersembunyi di sebalik kitab atau idea masyhur penulis atau pemimpin lain.

Saya fikir, penulis hebat juga tidak berselindung di sebalik kitab-kitab terkenal yang dibaca. Penulis yang hebat peribadi mampu mengorek, mengupas, menjalin dan memahamkan idea, diserasikan dalam konteks zaman kini dan diadun dengan pengalaman sendiri. Ustaz Nouman Ali Khan antara pendakwah dan penulis yang saya gemar. Dakwahnya segar dan kupasannya relevan sepanjang zaman.

Pembaca mahukan kesegaran dalam penulisan, bukan ulangan demi ulangan idea kitab-kitab lama sahaja. Jadi, karektor penulis hebat seharusnya berani dan jujur. Penulis berani dan jujur mempunyai aura tersendiri yang membezakan dirinya berbanding penulis lain. Pembaca akan tertarik pada idea, informasi, pengalaman dan cara mereka memerhati dunia sekeliling dalam penulisan.

Definasi penulis hebat ini agak terlalu jauh daripada kita walaupun saya sendiri. Tetapi apa yang perlu kita lakukan adalah sentiasa membaca dan berterusan menulis. Hanya melalui pembacaan, idea yang hadir tidak akan kering dan sentiasa berevolusi, beradaptasi dengan keadaan sekeliling.

Menulis, mulakan sekarang.



Friday 20 October 2017

Mengapa Memoir?

Teks:Anie-Alja
Mengapa Genre Memoir

Imej Google

Mengapa kita menulis Memoir?

Jawapan pertama dan terpenting, kita bukan siapa-siapa terkenal tetapi masih mahu merakam secebis pengalaman hidup untuk tatapan pembaca. Kisah hidup yang mampu mengambarkan siapa diri kita. Apa yang kita lalui sama ada baik atau buruk, membentuk keperibadian kita dewasa ini.

Memoir adalah secebis kisah hidup manusia sama ada kita seorang pemandu bas, tukang kebun, surirumah atau sesiapa sahaja. Kita tidak perlu melakar sejarah dunia untuk menceritakan tentang pengalaman peribadi. Kita tidak perlu menjadi Nelson Mandela dan meminta penulis autobiografi menulis tentang diri sendiri

Jadi, memoir adalah jawapannya.
Kita bukan siapa-siapa tetapi kita ada pengalaman yang mahu dirakan dan diraikan.

Bersambung...

Monday 16 October 2017

Buku Moving Out

Teks: Anie-Alja
Satu soalan, sebuah harapan.

Koleksi Anie-Alja

“Agak-agak selepas lima, sepuluh, atau 15 tahun lagi, kita di mana dan buat apa?” Suami saya selalu menjentik soalan ini minda saya.

            “Entah!” Saya respons tanpa berfikir panjang. Malas berfikir benda yang tak nampak.

            “Ermm...bosan juga, kan? Rutin, rutin, dan rutin.” Tanpa sedar saya mengeluh kebosanan.

            Saya seorang anak askar, sudah biasa hidup pindah-randah. Saya suka meneroka tempat baru, suka mencari kawan baru, dan belajar perkara baru dalam hidup. Saya tidak betah duduk lama di satu tempat, lantaran hidup seperti nomad sejak kecil. Saya anak askar sering mengikut arwah ayah bertugas dari satu negeri ke satu negeri di Semenanjung. Tamat pengajian di universiti saya puas bertukar sekolah, berpindah bilik, dan membilang rumah sewa.

            Suami saya seorang anak cikgu dan hidupnya kekal di satu tempat sehinggalah beliau  meninggalkan kampung halaman demi sebuah cita-cita. Tamat lima tahun di sekolah asrama penuh, beliau merantau jauh lima tahun di benua Amerika dan pulang bersama sebuah ijazah kejuruteraan.

            Pulang ke tanah air, beliau sentiasa mencari jalan untuk keluar semula ke luar negara. Katanya, hidup lebih mudah di negara orang. Alhamdulillah rezekinya murah, tetapi kali ini beliau dihantar ke negara Switzerland. Lima tahun bermastautin di negara coklat Lindt, dan pada tahun ketiga saya mengikutinya selepas kami bergelar suami isteri. Kehidupan di Switzerland penuh warna-warni. Saya terdedah pada budaya baru dan berkawan dengan orang tempatan, walaupun kebanyakan mereka agak sombong dan tidak boleh berbahasa Inggeris.

            Switzerland adalah sebuah ‘syurga’ di atas dunia, panaromanya memukau mata tetapi kehidupan kami seperti robot bernyawa. Saya tidak ada kawan ataupun mesra berjiran, selain kawan-kawan dari ofis suami. Segala urusan jadi ‘letih’ disebabkan kekangan bahasa.

            Kami dikurniakan anak pertama di Kanton Zurich, dan selepas setahun kami diarahkan berpindah ke United Kingdom. Riang hati tidak terkira selepas berpindah ke UK. Mahunya tidak, senang sikit berkawan dan boleh tonton TV dalam bahasa yang difahami. Mudah berurusan dengan orang ramai, terutamanya dalam isu yang melibatkan persekolahan dan pentadbiran.

            Anak kedua kami dilahirkan di West Sussex, South of England. Pada usia bayi tiga bulan, kami digegaskan balik ke tanah air kerana suami terlibat dalam projek nasional di China. Projek China mengambil masa agak panjang dan memerlukan komitmen padu daripada suami. Tanah Besar China menjadi negara kedua buat suami. Beliau berulang-alik ke China hampir setiap bulan, lebih tujuh tahun lamanya.

            Saya dan anak-anak menjalani kehidupan biasa selepas pulang ke tanah air. Sekali-sekala saya rindu. Rindu mahu bertukar musim bunga, panas, luruh, dan sejuk. Rindu mengendong anak-anak dalam baju tebal semasa musim sejuk. Rindu berjalan-jalan pada waktu siang tanpa sedikit pun rasa belengas. Rindu meneroka negara dan budaya baru, dengan hanya menyeberangi sempadan untuk ke Itali, Perancis atau Jerman.

            Apabila suami mengajak saya berangan, “Cuba bayangkan hidup kita selepas lima, sepuluh, dan 15 tahun lagi?”

            Jawapan ‘entah’ pada mulanya bertukar pada soalan, “What do you have in mind?”

            Saya akui, saya bosan dengan rutin harian yang kini menjangkau lebih lapan tahun sejak kami pulang dari luar negara.

            Sebenar-benarnya, itulah titik permulaan pada ‘journey’ kami.

            Satu soalan dan sebuah harapan.




Lapathon, Musim Bunga

Teks: Anie-Alja
Aktiviti Lapathon





Dua minggu sebelum hari Lapathon, Dina tidak habis-habis mengingatkan saya, “Umi jangan lambat, bawa bekal, bawa tikar, bawa air panas, dan pakai topi.”

            “Kot celah manalah umi nak angkut segala mak nenek barang berkelah. Umi kan naik bas!” Balas saya. Kebetulan waktu hujung tahun begitu, peruntukan elaun teksi pun dah habis.

            Saya malas nak beralasan dengan Dina, nanti mukanya sememeh kesedihan. Jadi, untuk tidak menghampakan harapan anak, saya bersiap awal pagi.  Hampir sejam setengah untuk sampai ke sekolahnya, saya terpaksa naik dua buah bas dan kereta api.

            “Tolong brief umi, lapathon ni apa bendanya pulak?” Soal saya beberapa hari sebelum itu.

            “Lapathon...hari Dina dan kawan-kawan berlari kat padang sekolah. Kami lari dengan muzik, ramai-ramai keliling padang,” jelas Dina.

            Semua pelajar diharuskan mengambil bahagian dan ia bertempat di padang sekolah, oval sebutan orang sini. Ini adalah acara larian di sekolah dan ibu bapa digalakkan datang membawa bekalan piknik sambil melihat mereka berlari di padang.

            Seperti yang digambarkan oleh Dina tahun lepas, ia seakan-akan acara pesta di sekolah. Setibanya di situ, saya lihat ramai ibu bapa sudah memenuhi kawasan padang yang dibayangi pokok-pokok tinggi di sekitarnya. Ada yang menghampar tikar di atas rumput, ada yang bawa kerusi camping, dan kelihatan bakul-bakul piknik di sisi mereka. Meriah dan berwarna-warni, itulah perkataan paling tepat bagi mengambarkan suasana itu.

            “Hi, are you Dina’s mom?” Saya disapa seseorang.

            “Come, join us here....” Ramah sekali mak-mak yang datang menyokong aktiviti ini. Saya mengikuti tanpa rasa segan, mereka memang peramah.




            Suasana agak nyaman pada musim bunga, walaupun jam di tangan menunjukkan pukul 11.00 pagi, tetapi hembusan angin ketara sejuknya. Semakin ramai yang mengalih tikar keluar daripada bayangan redup pokok untuk mendapat sinaran matahari. Kombinasi cahaya matahari dan angin sejuk, cukup sempurna untuk anak-anak bersuka ria di padang. Tidak berpeluh belengas, sepertimana cuaca panas lembap di negara khatulistiwa.

            Anak-anak sekolah diberikan kad penanda bagi mengesahkan berapa pusingan larian yang berjaya diselesaikan. Mereka berlari dengan gelak ketawa, usik-mengusik, dan gurau senda. Tambahan lagi, aktiviti larian disulami alunan lagu-lagu ‘hot’ pada ketika itu. Semakin rancak anak-anak itu berlari.

            Tiga atau empat minggu sebelum Lapathon bermula, Dina membawa balik sekeping kertas derma. Setiap ahli keluarga diminta menderma berdasarkan bilangan pusingan yang akan pelajar lari. Setiap pusingan mewakili berapa $ yang akan diderma. Contohnya, saya menderma $1 untuk satu pusingan larian. Jumlah yang saya derma adalah $10 untuk sepuluh pusingan dan $10 itu akan masuk ke tabung sekolah. Maksudnya, pelajar harus lari sepuluh pusingan atau jika kurang, jumlah derma pun akan berkurang mengikut pusingan yang mereka mampu.

            Ini adalah antara kaedah pungut derma paling popular di sekolah-sekolah rendah.

            Ramai cikgu dan ibu bapa berlari bersama-sama pelajar. Ia seperti aktiviti kekeluargaan. Sesetengah ibu atau bapa berlari sambil memegang tangan anak-anak. Ada juga anak-anak kecil yang belum bersekolah ikut berlari bersama kakak dan abang yang bersekolah.

            “This is not a lapathon...is a picnicthon.” Gelak kami, mak-mak yang sibuk makan di tepi padang.


“Umi...umi....!” Dina menjerit setiap kali melintas dan melambai tangan di hadapan saya dengan gelak ketawa bersama kawan sekelas.

            Jelas terbayang keseronokan anak-anak berlari diiringi muzik dan lagu kegemaran masa kini. Guru kelas menyambut pelajar yang berjaya membuat pusingan larian dan mencatitnya dalam kad larian lapathon. Selesai acara, cikgu mengumpul kad lapathon dan mengutip derma.

            Ini adalah acara tahunan yang diadakan di semua sekolah pada musim bunga. Musim yang sesuai untuk beriadah, berpiknik, dan bersuka ria di luar bilik darjah mahupun rumah, selepas berbulan berkurung dan berselimut pada musim sejuk.





Musim Bunga

Teks: Anie-Alja
Pengalaman Musim Bunga

Koleksi Anie-Alja

“Kalau mak nak pi sana, bulan berapa banyak bunga?” Mak menyoal di hujung talian.
            “Nak tengok bunga, mak kena mai bulan September. Waktu tu musim bunga di Australia,” jelas saya kepada mak.
            Ini antara soalan favourite keluarga dan kawan-kawan semasa saya duduk di ‘obersee’. Mak ‘hantu bunga’, jadi saya rajin berkongsi foto-foto bunga di sini. Mak kata, bunga di luar negara ‘menjadi’ sebab hawa sejuk. Bunga ros yang tumbuh dalam cuaca sejuk, saiznya lebih besar dan berbau wangi. Bunga tulip dan daisi pula hanya tumbuh dalam musim sejuk. Jadi, tidak merasalah mak nak melihat bunga-bunga itu di Malaysia kecuali jika ke tanah tinggi.
            Kepada mereka yang meminati bunga, bulan September, Oktober, dan awal November adalah masa terbaik untuk menikmati musim bunga. Jika di Eropah, musim bunga adalah pada bulan Mac, April, dan Mei, berbeza dari benua di sini. 

Semasa saya menetap di Eropah, kegilaan orang tempatan Switzerland menanam bunga tidak setanding orang di UK mahupun di Australia. Hampir setiap rumah di Switzerland dihiasi pasu bunga tergantung, atau dilekatkan di tingkap rumah. Suasana sungguh meriah dan berwarna-warni. Menetap di tiga buah negara empat musim, musim bunga di Switzerland adalah teristimewa. Padang rumput terbiar pun akan dipenuhi warna kuning, merah, putih, dan ungu. Padahal, hanya dipenuhi bunga-bunga rumput.
            Mak tidak sempat melawat ketika saya berada di Switzerland. Tidak dapat dibayangkan jika mak berkesempatan melihat persona musim bunga di sana. Mahu dibelinya benih-benih bunga dan dibawa balik ke Malaysia.

Koleksi Anie-Alja


Di Belanda ada Keukenhof, di Perth kami ada Taman Botani Arulen yang terkenal dengan kemeriahan warna-warni bunga tulip, pelbagai warna dan saiz. Tipnya, kena datang tepat pada waktu yang diwartakan kerana bunga tulip tidak tahan lama. Ia berbunga dan kembang pada waktu yang singkat, kemudian terus layu dan digantikan dengan bunga-bunga lain.
       Saya pernah bersama kawan ke Taman Botani Arulen yang terletak di daerah Roleystone. Pergi awal pagi dan cop kawasan piknik yang dikelilingi bunga indah beraneka warna. Berpusu-pusu pengunjung datang melawat dengan membawa bakul berisi makanan.
         Setibanya di sana, sudah banyak deretan kenderaan di kawasan pakir. Bas rombongan juga sudah banyak yang tiba. Maklumlah, musim bunga tulip sangat pendek waktunya, jadi orang tidak mahu melepaskan peluang melawat sebelum ia berlalu. Kita harus membayar tiket dalam beberapa dolar untuk masuk ke Taman Botani Arulen. Ada kemudahan asas dalam taman seperti kedai cenderahati, tandas awam dan gerai yang menjual makanan ringan. Terdapat juga sebuah gerai halal yang menjual gozleme, sejenis makanan dari negara Asia Barat. 

Katanya, gerai halal itu hanya beroperasi pada musim bunga sahaja.

Koleksi Anie-Alja 



            Selain boleh bersiar-siar berjalan kaki, ada juga perkhidmatan kereta berangkai seolah-olah kereta api, membawa para pengunjung mengelilingi taman botani. Kelihatan kebanyakan pengunjung terdiri daripada orang tua dan budak-budak menggemari aktiviti ini. Mereka beratur di satu sudut untuk menunggu kereta berantai.
            Selain Taman Botani Arulen, pengunjung Perth juga wajib sampai ke Taman Kings Park untuk melihat keindahan bunga liar atau native plants di Australia. Kings Park adalah syurga bunga liar. Beribu-ribu jenis spesies dihimpun dan ditanam di kawasan taman ini, melebihi keluasan seribu ekar. Bunga liar lebih unik dari segi bentuk, warna, dan saiz. 

         Bunga liar lebih kecil dan halus sifatnya, tetapi biasanya terhimpun dalam satu jambak atau berselerak dalam kuantiti yang banyak dan berwarna-warni. Ia juga bertahan lebih lama berbanding bunga-bunga tulip di Arulen. Jadi, kepada sesiapa yang terlepas menikmati kecantikan bunga-bunga di Taman Arulen, bolehlah datang ke Kings Park.
           “Hang boleh bawak balik benih bunga ka?” Mak gelak terkekeh-kekeh di hujung talian, meminta saya bawa balik benih bunga. Mak menagih benih bunga ros, apabila saya berkongsi gambar bunga ros yang tumbuh mekar di belakang rumah. Saiznya hampir sebesar tapak tangan Dina yang berusia sebelas tahun, wangi dan warnanya mempersonakan.
            Ada warna jingga, kuning, ungu, merah baldu, merah menyala, dan campuran warna merah jambu dan putih. Agaknya ia ditanam oleh penghuni rumah terdahulu sebelum kami berpindah masuk ke sini.
            Saya cuba kerat batang bunga ros dan bawa balik ke Malaysia, malangnya ia mati tidak sempat lama. Apa yang mak cakap ada betulnya, cuaca di tanah air tidak sesuai dengan pokok bunga di sini.


Koleksi Anie-Alja

            Saya bernasib baik kerana tidak ada sebarang alergi kepada bunga, begitu juga dengan suami dan anak-anak. Kepada mereka yang menghidap alahan polen, musim bunga adalah ‘a big no’ untuk mereka datang berkunjung dalam bulan September, Oktober, dan November. Ia tidaklah sampai membawa maut kepada penghidap alahan, tetapi cukup memberi rasa kurang selesa disebabkan simptomnya sama seperti penyakit selsema. Gatal hidung, bersin, dan selsema.




Friday 13 October 2017

Produk dan Tip Penulisan


Teks: Anie-Alja
Buku dan Tips Penulisan

Saya menawarkan buku dan berkongsi tips penulisan memoir

Buku pertama berjudul Moving Out, pengalaman hijrah saya dan keluarga ke Perth, Australia. Ia mengandungi tips, langkah demi langkah bagi mereka yang berminat.

Saya kongsikan juga pengalaman awal kami mencari rumah, mendaftar sekolah anak-anak, mengambil lesen kereta dan pelbagai suka-duka kehidupan sebagai penghijrah.

Banyak kisah tentang sekolah dan amalan guru-guru di sini yang boleh dijadikan panduan pada      kita. Ia berbeza dan agak praktikal untuk diamalkan.

Koleksi Anie-Alja


Buku kedua saya berjudul Mayang Sari, sebuah memoir keluarga. Sinopsisnya berbunyi seperti ini;


Koleksi Anie-Alja


Adalah kisah memoir sebuah keluarga melayu yang dipenuhi unsur tahyul, cerita dua alam dan peristiwa berdarah. Misteri demi misteri terbongkar, membayangkan dalang di sebalik drama bersiri sebuah keluarga.
Mak dituduh paranoid, dihukum taksub dan difitnah oleh anak-anak. Mak tidak sangka, dalam kepayahannya bertahan dan menuntut hak sebagai hamba Allah, anak-anak berpecah-belah menyokong antara dirinya dan si dalang.
Tergamak anak-anak mak melukai hati seorang ibu. Sampai hati anak-anak tidak mempercayai ibu sendiri. Mak terluka dan menangis hiba, mengadu pada yang Esa.

Kisah ini kisah benar yang tahyul. Kisah perjuangan antara hak dan bathil. Kisah pertarungan jin dan manusia. Kisah permusuhan mertua dan menantu. Kisah perbalahan adik-beradik. Kisah percintaan suami dan isteri. Kisah antara pengharapan dan kekecewaan.

Kisah antara Tuhan dan Hamba Nya.


Buku Moving Out boleh didapati di kedai buku MPH atau Popular. Manakala naskah memoir Mayang Sari boleh didapati daripada saya sendiri. Boleh hubungi saya melalui Facebook.




Pengenalan Diri



Teks: Anie-Alja
Pengenalan Diri





Saya ingin dikenali dengan nama pena Anie Alja. Berasal di sebuah negeri di utara tanah air. Seorang anak bekas askar dan seorang ibu suri rumah bersama-sama lima orang adik-beradik.

Pendidikan awal saya bermula di beberapa buah sekolah di beberapa buah negeri di Semenanjung. Maklumlah, sebagai anak askar saya banyak berpindah randah hinggalah saya balik ke kampung selepas ayah bersara. Tamat pengajian hingga SPM, saya meneruskan pengajian ijazah di Universiti Putra Malaysia dalam kursus Sarjana Muda Perakaunan. Kemudian melanjutkan pengajian dalam Sarjana Pendidikan Berteknologi di Universiti Teknologi Malaysia.

Lebih kurang dua tahun bekerja sebagai pensyarah di sebuah kolej swasta di Kuala Lumpur, saya mendirikan rumahtangga dan berpindah ke luar negara mengikut suami bertugas. Pengalaman warna-warni mula menyerap masuk dalam kehidupan apabila saya melahirkan anak sulung di Zurich, Switzerland dan anak kedua di Worthing, United Kingdom.

Keinginan untuk bekerja di luar sentiasa ada tetapi tanggunjawab sebagai seorang isteri dan umi, tidak terbanding dengan apa jua kerjaya yang ada di luar sana. Saya mengambil keputusan untuk terus menjadi suri rumah setelah pulang ke tanah air berbelas tahun yang lalu. Tekanan menjadi suri rumah di tanah air berbeza berbanding saya berada di luar negara. Di tanah air, sayalah tukang segala tukang. Sayalah supir, tukang masak, tukang cuci, alarm clock, pembantu dan segala seribu satu kerja yang tidak pernah habis-habis.

Satu perkara yang menjadi milik peribadi sejak saya sibuk menjadi seorang isteri dan umi adalah hobi membaca buku. Inilah satu-satunya aktiviti yang saya tidak perlu kongsi dengan suami dan anak-anak. Saya bangga menjadi seorang isteri dan umi, tetapi saya juga perlu menjadi seorang individu yang mempunyai hobi tersendiri. Di sinilah bermulanya minat saya dalam buku-buku genre psikologi, parenting dan self-developement. Saya membaca bagi membantu saya mengurus keperluan emosi dan psikologi suami dan anak-anak. Tidak sangka setelah lebih 16 tahun, buku-buku genre ini menjadi sebahagian daripada hidup saya.

Pada tahun 2014, saya sekeluarga berhijrah ke Perth, Australia. Keputusan yang dibuat agak mengejutkan tetapi saya dan suami mencari sesuatu yang tidak ada di bumi Malaysia iaitu pendidikan menyeluruh untuk anak-anak. Saya coretkan pengalaman kami berhijrah dalam buku Moving Out terbitan Must Read Sdn Bhd pada tahun 2016. Ia bukan sebuah keputusan yang mudah tetapi melihat anak-anak membesar sepertimana yang saya dan suami inginkan adalah satu rahmat.



Kini, saya masih berada di bumi Perth. Masih bergelar seorang isteri dan umi tetapi mempunyai minat yang berbeza. Saya suka menulis. Buku kedua saya menceritakan tentang memoir keluarga yang diberi nama Mayang Sari. Kisah pengorbanan seorang ibu demi kelangsungan zuriatnya tanpa dikhianati oleh jin saka.

Sejak menulis kisah memoir, saya dapati kita semua ada kisah sendiri yang perlu dikongsi untuk tatapan orang luar. Saya mula membaca tips penulisan memoir yang dikongsi oleh penulis-penulis dari barat yang lebih terbuka dan realistik. Saya dapati genre begini kurang dalam pasaran buku di negara kita, dan ini peluang saya untuk mengetengahkan genre ini dalam pasaran buku Malaysia. Timbul pula rasa ingin berkongsi sedikit pengalaman yang ada di sepanjang perjalanan menyiapkan memoir ini.

Fikir saya, jika saya ada cerita, orang lain pun ada cerita yang boleh dikongsi.




Itulah serba sikit pengenalan tentang diri saya sebagai isteri, umi dan penulis. Sudi-sudilah bertandang ke rumah maya saya. Ambil yang bermanfaat dan buang yang menyesak rasa kerana kita adalah apa yang kita RASA.

Pasaran Memoir

Teks: Anie Alja Memoir Masih Rebung Ramai penulis tempatan memberi gambaran yang salah tentang seni penulisan memoir. Memoir bukan...