Monday 16 October 2017

Musim Bunga

Teks: Anie-Alja
Pengalaman Musim Bunga

Koleksi Anie-Alja

“Kalau mak nak pi sana, bulan berapa banyak bunga?” Mak menyoal di hujung talian.
            “Nak tengok bunga, mak kena mai bulan September. Waktu tu musim bunga di Australia,” jelas saya kepada mak.
            Ini antara soalan favourite keluarga dan kawan-kawan semasa saya duduk di ‘obersee’. Mak ‘hantu bunga’, jadi saya rajin berkongsi foto-foto bunga di sini. Mak kata, bunga di luar negara ‘menjadi’ sebab hawa sejuk. Bunga ros yang tumbuh dalam cuaca sejuk, saiznya lebih besar dan berbau wangi. Bunga tulip dan daisi pula hanya tumbuh dalam musim sejuk. Jadi, tidak merasalah mak nak melihat bunga-bunga itu di Malaysia kecuali jika ke tanah tinggi.
            Kepada mereka yang meminati bunga, bulan September, Oktober, dan awal November adalah masa terbaik untuk menikmati musim bunga. Jika di Eropah, musim bunga adalah pada bulan Mac, April, dan Mei, berbeza dari benua di sini. 

Semasa saya menetap di Eropah, kegilaan orang tempatan Switzerland menanam bunga tidak setanding orang di UK mahupun di Australia. Hampir setiap rumah di Switzerland dihiasi pasu bunga tergantung, atau dilekatkan di tingkap rumah. Suasana sungguh meriah dan berwarna-warni. Menetap di tiga buah negara empat musim, musim bunga di Switzerland adalah teristimewa. Padang rumput terbiar pun akan dipenuhi warna kuning, merah, putih, dan ungu. Padahal, hanya dipenuhi bunga-bunga rumput.
            Mak tidak sempat melawat ketika saya berada di Switzerland. Tidak dapat dibayangkan jika mak berkesempatan melihat persona musim bunga di sana. Mahu dibelinya benih-benih bunga dan dibawa balik ke Malaysia.

Koleksi Anie-Alja


Di Belanda ada Keukenhof, di Perth kami ada Taman Botani Arulen yang terkenal dengan kemeriahan warna-warni bunga tulip, pelbagai warna dan saiz. Tipnya, kena datang tepat pada waktu yang diwartakan kerana bunga tulip tidak tahan lama. Ia berbunga dan kembang pada waktu yang singkat, kemudian terus layu dan digantikan dengan bunga-bunga lain.
       Saya pernah bersama kawan ke Taman Botani Arulen yang terletak di daerah Roleystone. Pergi awal pagi dan cop kawasan piknik yang dikelilingi bunga indah beraneka warna. Berpusu-pusu pengunjung datang melawat dengan membawa bakul berisi makanan.
         Setibanya di sana, sudah banyak deretan kenderaan di kawasan pakir. Bas rombongan juga sudah banyak yang tiba. Maklumlah, musim bunga tulip sangat pendek waktunya, jadi orang tidak mahu melepaskan peluang melawat sebelum ia berlalu. Kita harus membayar tiket dalam beberapa dolar untuk masuk ke Taman Botani Arulen. Ada kemudahan asas dalam taman seperti kedai cenderahati, tandas awam dan gerai yang menjual makanan ringan. Terdapat juga sebuah gerai halal yang menjual gozleme, sejenis makanan dari negara Asia Barat. 

Katanya, gerai halal itu hanya beroperasi pada musim bunga sahaja.

Koleksi Anie-Alja 



            Selain boleh bersiar-siar berjalan kaki, ada juga perkhidmatan kereta berangkai seolah-olah kereta api, membawa para pengunjung mengelilingi taman botani. Kelihatan kebanyakan pengunjung terdiri daripada orang tua dan budak-budak menggemari aktiviti ini. Mereka beratur di satu sudut untuk menunggu kereta berantai.
            Selain Taman Botani Arulen, pengunjung Perth juga wajib sampai ke Taman Kings Park untuk melihat keindahan bunga liar atau native plants di Australia. Kings Park adalah syurga bunga liar. Beribu-ribu jenis spesies dihimpun dan ditanam di kawasan taman ini, melebihi keluasan seribu ekar. Bunga liar lebih unik dari segi bentuk, warna, dan saiz. 

         Bunga liar lebih kecil dan halus sifatnya, tetapi biasanya terhimpun dalam satu jambak atau berselerak dalam kuantiti yang banyak dan berwarna-warni. Ia juga bertahan lebih lama berbanding bunga-bunga tulip di Arulen. Jadi, kepada sesiapa yang terlepas menikmati kecantikan bunga-bunga di Taman Arulen, bolehlah datang ke Kings Park.
           “Hang boleh bawak balik benih bunga ka?” Mak gelak terkekeh-kekeh di hujung talian, meminta saya bawa balik benih bunga. Mak menagih benih bunga ros, apabila saya berkongsi gambar bunga ros yang tumbuh mekar di belakang rumah. Saiznya hampir sebesar tapak tangan Dina yang berusia sebelas tahun, wangi dan warnanya mempersonakan.
            Ada warna jingga, kuning, ungu, merah baldu, merah menyala, dan campuran warna merah jambu dan putih. Agaknya ia ditanam oleh penghuni rumah terdahulu sebelum kami berpindah masuk ke sini.
            Saya cuba kerat batang bunga ros dan bawa balik ke Malaysia, malangnya ia mati tidak sempat lama. Apa yang mak cakap ada betulnya, cuaca di tanah air tidak sesuai dengan pokok bunga di sini.


Koleksi Anie-Alja

            Saya bernasib baik kerana tidak ada sebarang alergi kepada bunga, begitu juga dengan suami dan anak-anak. Kepada mereka yang menghidap alahan polen, musim bunga adalah ‘a big no’ untuk mereka datang berkunjung dalam bulan September, Oktober, dan November. Ia tidaklah sampai membawa maut kepada penghidap alahan, tetapi cukup memberi rasa kurang selesa disebabkan simptomnya sama seperti penyakit selsema. Gatal hidung, bersin, dan selsema.




No comments:

Post a Comment

Pasaran Memoir

Teks: Anie Alja Memoir Masih Rebung Ramai penulis tempatan memberi gambaran yang salah tentang seni penulisan memoir. Memoir bukan...