Monday 5 February 2018

Pasaran Memoir

Teks: Anie Alja
Memoir Masih Rebung




Ramai penulis tempatan memberi gambaran yang salah tentang seni penulisan memoir. Memoir bukan sebuah kisah pengalaman biasa-biasa. Ia bukan coretan diari yang kita pernah bersekolah di sekolah asrama. Bukan juga sebuah nukilan pengalaman sewaktu kecil yang kita pernah menetap di rumah flat PPRT. Pendek kata, memoir bukan sebuah tulisan pengalaman basahan seorang anak kecil, bukan diari kita semasa remaja di asrama atau pengalaman terjatuh daripada pokok ciku.

Kesan daripada kesalahan tafsiran ini, ramai penulis merasakan dirinya layak menulis sebuah memoir. Berlambaklah buku-buku bergenre memoir di pasaran dan terlalu sukar untuk kita mencari naskah yang benar-benar menepati ciri-ciri sebuah memoir.

Apakah ciri-ciri sebuah memoir?

Baca di sini:
Nilai Memoir
Kemanusiaan Dalam Memoir

Memoir adalah sebuah karya matang. Ia sebuah lukisan hati yang paling dalam dan sensitif untuk dibicarakan secara terbuka. Ia sebuah pendedahan diri yang dilingkari kesedihan, penyesalan atau penyerahan dalam sebuah kehidupan.

Pendeknya, ia bukan sebuah karya ringan.

Wednesday 10 January 2018

Memoir; Bicara Bisu

Teks: Anie Alja
Luahan Hati



Pengalaman paling mahal apabila menyerahkan salinan buku pada mak adalah peluang keemasan yang saya cipta untuk menyampaikan hasrat hati tentang apa yang saya fikirkan berlaku ke atas kami sekeluarga. Ia tidak mudah.

Peluang yang ada tidak seluas dan sebebas yang diperolehi dalam naskah memoir yang ditulis. Saya mengambil kesempatan ini untuk meluahkan rasa hati agar mak memahami apa yang ada dalam minda kami adik-beradik.

Dan kepuasannya, sungguh melegakan hati dan perasaan. Saya harap adik-beradik yang membacanya juga dapat menyelami hati kami sekeluarga. Tidak ada yang jahat, kami cuma berbeza cara dalam menangani isu di hadapan mata.

Peluang

Memoir adalah sebuah bingkisan hati. Kita patut mengambil peluang ini bagi berbicara isu sukar, yang tidak mampu diolah jika berhadapan dengan ahli keluarga. Isu sensitif yang kita tidak pandai mengolah bicara kerana dibayangi emosi sedih, kecewa dan marah. Jadi, inilah ruang dan masanya untuk menulis sebuah memoir.

Memoir bukan sebuah naskah memberi hukum. Ia sebuah nukilan perasaan supaya difahami. Ia sebuah perkongsian peribadi dari sudut hati yang paling dalam, Agar didengari dan diteliti dari sudut mereka yang mengalami. Tidak ada kemarahan, tidak ada penghakiman, tidak ada pertuduhan dan tidak ada prejudis atau berat sebelah. Ia cuma helaian perasaan dan pengalaman yang mahu dimengerti dan diraikan kelemahan diri.

Memoir tidak membawa kepada permusuhan. Ia bukan naskah yang menggalakkan perbezaan pendapat hingga ke alam realiti. Ia bukan nukilan hati yang penuh dendam kesumat dan membalas dendam.

Ia sebuah karya matang yang meraikan perbezaan pengalaman dan perspektif dalam kehidupan.

Baca di sini Simple Truth



Pengalaman Eropah; Paris

Teks: Anie-Alja
Paris


Segalanya bermula apabila suami ditugaskan ke Paris pada bulan September tahun lepas, 2017. Balik daripada sana, suami kata, 'Jom ajak anak-anak ke Paris'.

Bulan sepuluh saya dan suami mengintai tiket murah di MATTA fair, tetapi pulang dengan tangan kosong. Kami tak boleh memutuskan sebab belum buat perancangan sama ada perlu ke Paris dulu atau London. Selepas siri diskusi, kami putuskan untuk terus ke Paris dan bukan London. Kami dah ronda London semasa bercuti dalam tahun 2014. Jadi, kami hanya nak fokus pada tiga kota utama di Eropah barat iaitu Paris, Zurich dan Venice.

"Mungkin masa yang bagus nak bawa Akmal lihat Eropah, terutamanya Zurich tempat dia dilahirkan."

"Akmal taknak pergi negara orang putih. Nak negara exortic."

"Dina ikut saja... mana-mana pun best."

"Penatnya nak mengemas..."

Ini luahan kami anak-beranak.


Paris Chales De Gaulle





Kami bertolak dari Kuala Lumpur ke Doha, Doha ke Paris. Dalam 24 jam perjalanan. Pengalaman bersama Qatar Airways tidak menghampakan; sangat selesa dan makanannya juga sedap memenuhi selera. Berbeza benar dengan pengalaman bersama AA, hahahha. Suasana selesa juga turut disulami dengan penumpang yang berakal menjadikan perjalanan kami selama 13 jam itu tidak memenatkan. Kami dapat rehat dengan secukupnya.

Setibanya kami di Paris, hari sudah petang dan beransur ke magrib. Kami menaiki teksi yang dipandu orang berbangsa Cina yang langsung tidak boleh bertutur bahasa Inggeris. Dalam meter tertera Euro50 sebaik saja tiba di hadapan hotel Wagram, tempat kami bakal menginap selama empat hati dan tiga malam.

"Keciknya hotel!" jerit Cik D, anak perempuan.

"Hotel di Eropah macam ni lah, kecik-kecik. Nak hotel best, breakfast sedap kena duduk 1st class atau pergi hotel di Malaysia," balas saya menerangkan.

Selama saya mengukuti suami di Eropah, jarang kami masuk hotel mewah kecuali dibayar kompeni. Kalau bayar sendiri, itu sajalah hotel yang mampu. Itupun sudah berpeluh juga membayarnya kerana kami terpaksa mengambil dua bilik. Maklumlah, anak dah besar-besar belaka. Malam pertama kami hanya makan dan tidur di bilik hotel.

Perancangannya pada hari pertama, kami akan mengambil bas hop on/hop off. Selepas keluar hotel pada pagi itu, kami terus berjalan ke pintu gerbang terkenal seperti foto di atas. Namanya Arc of Triumph, dalam jarak 15 minit dari hotel penginapan. Suasana pada pagi itu sejuk dengan suhu dalam 6 darjah celsius. Sedap untuk berjalan-jalan walaupun cuaca agak mendung.

Kami mencari lokasi untuk membeli tiket hop on/off. Rupanya, ia dijual di tepi jalan setelah mata kami mengikut perjalanan bas itu mengelilingi pintu gerbang Arc of Triumph. Pelik sekali melihat orang Paris memandu kereta. Mereka agak rakus dan bersempang-siur, terutamanya di roundabout yang mengelilingi bulatan The Arc. Sudahlah tidak mempunyai garisan jalan sama sekali. Ia sangat sibuk dan mencemaskan.

Ada pemandu menekan hon, ada yang berhenti tiba-tiba, ada yang memecut, melencong dan macam-macam lagi. Penjalan kaki juga sangat berani, mereka melintas jalan tanpa menoleh. Agaknya, kebanyakan pelancong teruja mahu mengambil foto The Arc of Triumph.

Bas hop on/off



Kami membayar tiket bas dan terus ke tingkat atas. Banyak seat kosong dan kami memilih tempat paling belakang. Dalam cuaca mendung dan ditambah dengan angin sejuk apabila bas dipandu laju, benar-benar melemaskan muka dan hidung mula terasa kebas akibat kesejukkan. Kata suami, kami akan buat satu pusingan sebelum memilih tempat turun dan bereksplorasi. Kami diberi peta lokasi bersama earphone untuk mendengar penjelasan tentang tempat-tempat yang dilalui dengan bas.

Dulu, pernah sekali saya dan suami bersama anak sulung ke Paris semasa kami menetap di UK. Saya menyesal sebab tidak mengambil bas untuk pusing di kawasan bandar. Paris sama seperti London, tidak tergagah dek badan jika hendak menapak dari satu lokasi ke satu lokasi lain. Dengan menaiki bas, paling tidak kita dapat melihat secara rambang dan menyeluruh akan suasana bandar terkenal dunia. Ia jauh lebih besar daripada banda Perth mahupun Kuala Lumpur, dan bas adalah cara terbaik jika kita tidak banyak masa untuk pusing-pusing di kawasan itu.

Di dalam bas, perjalanan agak perlahan dan terganggu oleh lampur trafik yang sangat banyak. Manakala, jarak antara satu lokasi ke satu lokasi lain juga agak jauh. Tiba-tiba anak bersuara, "Kita nak makan di mana. Macam dah lapar..."

Dalam peta kami ada ditunjuk lokasi McDonald iaitu di kawasan muzium terkenal di mana foto Monna Lisa diabadikan, Louvre Musuem. Dekat tak dekat, tetapi bas berhenti agak jauh. Kami terpaksa menapak untuk mencari lokasi restoran makanan ringan itu. Sudahlah lapar, sejuk dan kaki kami seperti longlai berjalan berpandukan peta Google dalam telefon bimbit suami. Akhirnya, kami terjumpa restoran yang dicari dan kami makan burger ikan bersama kentang.

Bersambung...

Saturday 6 January 2018

Teruskan Menulis

Teks: Anie Alja
Don't over think it


Gambaran pertama sebagai pembaca memoir; 'beraninya penulis ini'.

Semasa menulis Memoir Mayang Sari, perasaan takut bertandang bersilih-ganti. Takut akan penerimaan orang keliling tentang pekung dalam keluarga sendiri. Apabila rasa takut itu kuat, saya berhenti menulis dan buat kerja lain. Keesokkan harinya, saya sambung menulis lagi hinggalah ia siap.

Perasaan itu bukan main-main. Ia perlu diurus jika mahu meneruskan penulisan genre ini. Ia bukan saja melibatkan diri sendiri tetapi juga orang keliling, terutamanya mak ayah dan adik-beradik. Jadi, semasa menulis draf pertama, cuba lupakan respon dan wajah mereka semua.

Ia lebih selamat hingga manuskrip itu siap.

Pentingnya di sini, siapkan dulu draf pertama.


Komen Negatif

Jujurnya, saya belum memasarkan Mayang Sari pada orang awam di luar sana. Hanya pembaca yang dikenali dalam FB dan kawan-kawan. Setakat ini, maklum balas yang diterima menguja dan mengharukan. Saya tidak sangka, ramai lagi mangsa aniaya sihir di luar sana. Memoir saya seolah-olah memberi sinar baru pada mereka. Katanya, mereka tidak lagi rasa keseorangan.

Memoir MS memberi semangat kepada mereka walaupun tidak ada kata-kata memujuk. Memoir itu memberi harapan kepada mangsa sihir agar sentiasa berubat dan menjadikan sumpahan itu sebagai motivasi untuk lebih mendekatkan diri kepada Allah swt.

Kalian boleh membaca ulasan mereka di sini; Ulasan Mayang Sari

Memoir adalah sebuah kisah pengalaman hidup, jadi tidak semua orang akan memahami jika diri sendiri tidak pernah melaluinya. Sebagai penulis memoir kita hanya berkongsi kejadian dan pengajaran disebaliknya. Bagaimana pembaca mahu mengambil pendoman adalah hak mereka. Jika negatif yang mereka dapat, negatiflah memoir kita. Jika positif yang mereka faham, positiflah kisah kita.

Jangan jadikan ia peluntur semangat untuk terus menulis.

Siapkan draf pertama.


Pasaran Memoir

Teks: Anie Alja Memoir Masih Rebung Ramai penulis tempatan memberi gambaran yang salah tentang seni penulisan memoir. Memoir bukan...