Satu soalan, sebuah harapan.
![]() |
Koleksi Anie-Alja |
“Agak-agak selepas
lima, sepuluh, atau 15 tahun lagi, kita di mana dan buat apa?” Suami saya selalu menjentik
soalan ini minda saya.
“Entah!” Saya respons tanpa berfikir panjang. Malas
berfikir benda yang tak nampak.
“Ermm...bosan juga, kan? Rutin, rutin, dan rutin.” Tanpa
sedar saya mengeluh kebosanan.
Saya seorang anak askar, sudah biasa hidup pindah-randah.
Saya suka meneroka tempat baru, suka mencari kawan baru, dan belajar perkara
baru dalam hidup. Saya tidak betah duduk lama di satu tempat, lantaran hidup
seperti nomad sejak kecil. Saya anak askar sering mengikut arwah ayah bertugas
dari satu negeri ke satu negeri di Semenanjung. Tamat pengajian di universiti
saya puas bertukar sekolah, berpindah bilik, dan membilang rumah sewa.
Suami saya seorang anak cikgu dan hidupnya kekal di satu
tempat sehinggalah beliau meninggalkan
kampung halaman demi sebuah cita-cita. Tamat lima tahun di sekolah asrama
penuh, beliau merantau jauh lima tahun di benua Amerika dan pulang bersama
sebuah ijazah kejuruteraan.
Pulang ke tanah air, beliau sentiasa mencari jalan untuk
keluar semula ke luar negara. Katanya, hidup lebih mudah di negara orang.
Alhamdulillah rezekinya murah, tetapi kali ini beliau dihantar ke negara
Switzerland. Lima tahun bermastautin di negara coklat Lindt, dan pada tahun
ketiga saya mengikutinya selepas kami bergelar suami isteri. Kehidupan di Switzerland
penuh warna-warni. Saya terdedah pada budaya baru dan berkawan dengan orang
tempatan, walaupun kebanyakan mereka agak sombong dan tidak boleh berbahasa
Inggeris.
Switzerland adalah sebuah ‘syurga’ di atas dunia,
panaromanya memukau mata tetapi kehidupan kami seperti robot bernyawa. Saya
tidak ada kawan ataupun mesra berjiran, selain kawan-kawan dari ofis suami.
Segala urusan jadi ‘letih’ disebabkan kekangan bahasa.
Kami dikurniakan anak pertama di Kanton Zurich, dan
selepas setahun kami diarahkan berpindah ke United Kingdom. Riang hati tidak
terkira selepas berpindah ke UK. Mahunya tidak, senang sikit berkawan dan boleh
tonton TV dalam bahasa yang difahami. Mudah berurusan dengan orang ramai,
terutamanya dalam isu yang melibatkan persekolahan dan pentadbiran.
Anak kedua kami dilahirkan di West Sussex, South of
England. Pada usia bayi tiga bulan, kami digegaskan balik ke tanah air kerana
suami terlibat dalam projek nasional di China. Projek China mengambil masa agak
panjang dan memerlukan komitmen padu daripada suami. Tanah Besar China menjadi
negara kedua buat suami. Beliau berulang-alik ke China hampir setiap bulan,
lebih tujuh tahun lamanya.
Saya dan anak-anak menjalani kehidupan biasa selepas
pulang ke tanah air. Sekali-sekala saya rindu. Rindu mahu bertukar musim bunga,
panas, luruh, dan sejuk. Rindu mengendong anak-anak dalam baju tebal semasa
musim sejuk. Rindu berjalan-jalan pada waktu siang tanpa sedikit pun rasa
belengas. Rindu meneroka negara dan budaya baru, dengan hanya menyeberangi
sempadan untuk ke Itali, Perancis atau Jerman.
Apabila suami mengajak saya berangan, “Cuba bayangkan
hidup kita selepas lima, sepuluh, dan 15 tahun
lagi?”
Jawapan ‘entah’ pada mulanya bertukar pada soalan, “What
do you have in mind?”
Saya akui, saya bosan dengan rutin harian yang kini
menjangkau lebih lapan tahun sejak kami pulang dari luar negara.
Sebenar-benarnya, itulah titik permulaan pada ‘journey’ kami.
Satu soalan dan sebuah harapan.
No comments:
Post a Comment