Teks: Anie-Alja
Wayang Lambak Kings Park
Moonlight Cinema_FBphoto |
Dulu-dulu masa menetap di kem
askar, saya selalu ikut mak dan ayah menonton wayang lambak di padang sekolah.
Ada sebuah van kecil meronda di kawasan rumah flat askar dan budak-budak
berkejaran menghambat van. Pemandu meronda-ronda dan seorang lagi membaling flyers filem yang akan ditayangkan.
Abang yang berusia tujuh tahun selalu membawa balik flyers ke rumah. Kami sering menagih simpati mak dan ayah supaya
membawa kami menonton wayang. Antara filem yang saya masih ingat adalah
lakonan pelawak AR Badol dan Hussein Abu Hassan sebagai pendekar jahat.
“Wah, kawan umi kata ada wayang lambak kat sini...jom
tengok!” Teruja saya bercerita dengan anak-anak tentang kenangan wayang lambak
bersama tok dan tokwan.
“Errr...wayang apa tu?” Soal Dina, muka berkerut tidak
faham.
“Wayang lambak...alaaa wayang yang kita tengok kat
padang, ramai-ramai,” jelas saya.
“Kat padang...kena beli tiket tak?” Akmal pula
menunjukkan muka kelabu asap.
“Yaaa, kena beli tiketlah...tapi kita tak tengok dalam
panggung wayang macam biasa. Kita berkumpul ramai-ramai kat padang dan semua
orang datang dengan barang-barang sendiri. Nak bawa bantal, kerusi, bean bag...suka hati. Bawaklah apa-apa
saja kat padang tu nanti!” Panjang lebar saya menerangkan perihal wayang lambak
kepada anak-anak.
Ternyata penjelasan saya mengundang rasa ingin tahu dalam
diri mereka. Anak-anak belum pernah lalui pengalaman pelik begini.
“Tengok wayang kat padang...how weird is that!” Dina masih buat muka pelik.
Seperti yang dijanjikan, kami mengumpul barang-barang
untuk dibawa ke padang. Makanan yang dibawa cukup banyak, macam boleh duduk
tiga malam. Seronok punya fasal, semua kami masukkan dalam beg piknik tahan
panas.
“Umi dah tengok weather
forecast? Macam mendung nak hujan ja!” Soal suami.
“Oh ya ka...alahai! Punyalah panas beberapa minggu ni. Tak
aci betul,” komen saya.
Wayang lambak tidak diadakan di sepanjang musim. Ia hanya
berlangsung dalam musim panas hingga awal musim luruh. Jika terlepas musim ini,
kami terpaksa tunggu hingga masuk musim panas di penghujung tahun hadapan. Lama
tu!
“Alaa...Dina nak tengok Kungfu Panda 3.” Dina menyampuk
setelah mendengar perbualan antara saya dan suami.
Kami bertolak ke Kings Park
selepas pukul 5.00 petang. Kaunter tiket beroperasi pada pukul 6.00 petang,
jadi kami bergerak awal supaya dapat memilih spot paling sesuai. Kings Park adalah sebuah taman di dalam bandar
yang terbesar di dunia. Keluasannya mencecah beribu ekar, tidak berdaya
berjalan kaki dan harus diredah menaiki kenderaan.
Bermacam-macam yang ada di dalam taman itu. Pusat
rekreasi, kafe, tasik, padang permainan kanak-kanak, tempat memanjat, tapak
konsert, dan tempat bersejarah muda-mudi melangsungkan majlis berkahwinan.
Selain itu, Kings Park adalah lokasi paling tepat untuk merakam keindahan
panorama bandar Perth dari pandangan mata burung.
Pada musim bunga, di sinilah syurga buat
pencinta-pencinta bunga liar. Pelbagai jenis bunga dapat kita lihat, cantik,
unik, berwarna-warni, dan meliar di mana-mana sahaja.
“Wah, dah ramailah orang datang.” Saya terkejut melihat
kereta mula beratur mencari tapak parkir.
“Cepat-cepat...angkut barang kita cepat!” Dina tidak
sabar dan melompat turun dari kereta.
“Apa kata...kita jangan angkut barang-barang tu dulu.
Malu nanti orang nampak kita bawa bantal belang!” Suami beri cadangan, disertai
gelak ketawa anak-anak.
Kami berjalan mencari padang dan mengintai-intai di mana
letaknya skrin putih.
“Tak nampak bayang skrin pun!” Saya mula rasa pelik.
Kami berpusing-pusing di situ untuk memastikan kami
berada di tempat yang betul. Di mana letaknya kaunter? Nampak sunyi sahaja.
Tadi ternampak banyak kereta yang parkir di luar, tapi kebanyakan pengunjung
datang bermain di padang permainan, terletak tidak jauh dari situ.
Kami ternampak kontena berwarna hijau, ramai juga orang
berkumpul di situ. Kami berempat menghampiri kontena itu dan terbaca papan
tanda yang diletakkan di tingkap kaunter.
Ia berbunyi ‘Kungfu
Panda 3 has been cancelled due to Adverse Weather Conditions.’
Terkebil-kebil kami memandang sesama sendiri. Saya
terpaku membaca papan notis itu. Mendongak melihat langit yang mendung, tapi
tiada tanda-tanda akan hujan. Wajah Dina muncung masam tidak berpuas hati.
Akmal gelak tarik nafas lega, “Nasib baik kita tak angkut
bantal belang!”
Dalam kecewa kami tergelak sesama sendiri apabila melihat
orang lain beria-ia mengangkut sleeping
beg, bean beg, kerusi camping, meja, bakul piknik, khemah, dan
segala mak nenek. Semua berwajah hampa apabila mendapat tahu wayang Kungfu
Panda dibatalkan. Penganjur ada menghantar mesej pembatalan tetapi ia agak
lewat, iaitu lapan minit sebelum kaunter tiket dibuka. Ramai meluahkan rasa
tidak puas hati.
“Jom balik!” Saya bersuara perlahan tanda kecewa, tidak
ada mood.
“Jom carik wayang lain, ada lagi satu kan?” Tiba-tiba
suami memberi cadangan tidak masuk akal.
“Ada...tapi tak tahu kat mana. Nak kena bayar tiket lagi.
Dah la mahal!” Saya menjawab acuh tak acuh, masih kuciwa.
Percaya atau tidak, kami berjaya mencari wayang lambak
lain tidak berapa jauh dari lokasi Kings Park. Ia terletak di Burswood dengan
bantuan mak cik Google dan pak cik Waze. Ia dikenali sebagai Community Cinema McDonald dengan bayaran
berpatutan. Kami mendapat spot
menarik iaitu di bawah lampu projektor filem. Jadi, ia agak terang untuk kami
menyiapkan tapak menonton. Suami menghampar tikar piknik, membuka bekalan
makanan, menyusun kerusi camping, dan
bantal belang menjadi rebutan antara anak-anak dan suami. Saya dan Dina
bersiap-siap ke tandas sebelum wayang bermula. Macam pergi berkelah di tepi
pantai rasanya.
Padang di Burswood tidak sebesar dan secantik di Kings
Park. Pekerjanya terdiri daripada mak cik dan pak cik tua, bersesuaian dengan
konsep menonton sambil menderma. Itu sebab agaknya, tiket di sini lebih murah
berbanding di Kings Park. Pada penonton yang membayar lebih, mereka menonton di
bahagian hadapan bersama bean bag
serta mendapat layanan istimewa seperti penghantaran makanan dan minuman semasa
menonton.
Pengunjung lain juga boleh menyewa bean bag di situ. Kebanyakan penonton adalah seperti kami,
mengangkut segala yang ada untuk menjimatkan kos.
Anak-anak seronok melalui pengalaman pertama dan unik
sebegini. Kami semua berjaya menonton Kungfu Panda 3 pada malam itu, tanpa
setitis hujan.
Dalam diam, kenangan saya bersama emak dan arwah ayah
bermain dalam fikiran semasa menetap di kem askar. Ternyata, saya rindukan mak
dan arwah ayah. Tidak sangka, saya boleh ulang kenangan ini bersama keluarga
sendiri.
No comments:
Post a Comment