Friday, 13 October 2017

Pengenalan Diri



Teks: Anie-Alja
Pengenalan Diri





Saya ingin dikenali dengan nama pena Anie Alja. Berasal di sebuah negeri di utara tanah air. Seorang anak bekas askar dan seorang ibu suri rumah bersama-sama lima orang adik-beradik.

Pendidikan awal saya bermula di beberapa buah sekolah di beberapa buah negeri di Semenanjung. Maklumlah, sebagai anak askar saya banyak berpindah randah hinggalah saya balik ke kampung selepas ayah bersara. Tamat pengajian hingga SPM, saya meneruskan pengajian ijazah di Universiti Putra Malaysia dalam kursus Sarjana Muda Perakaunan. Kemudian melanjutkan pengajian dalam Sarjana Pendidikan Berteknologi di Universiti Teknologi Malaysia.

Lebih kurang dua tahun bekerja sebagai pensyarah di sebuah kolej swasta di Kuala Lumpur, saya mendirikan rumahtangga dan berpindah ke luar negara mengikut suami bertugas. Pengalaman warna-warni mula menyerap masuk dalam kehidupan apabila saya melahirkan anak sulung di Zurich, Switzerland dan anak kedua di Worthing, United Kingdom.

Keinginan untuk bekerja di luar sentiasa ada tetapi tanggunjawab sebagai seorang isteri dan umi, tidak terbanding dengan apa jua kerjaya yang ada di luar sana. Saya mengambil keputusan untuk terus menjadi suri rumah setelah pulang ke tanah air berbelas tahun yang lalu. Tekanan menjadi suri rumah di tanah air berbeza berbanding saya berada di luar negara. Di tanah air, sayalah tukang segala tukang. Sayalah supir, tukang masak, tukang cuci, alarm clock, pembantu dan segala seribu satu kerja yang tidak pernah habis-habis.

Satu perkara yang menjadi milik peribadi sejak saya sibuk menjadi seorang isteri dan umi adalah hobi membaca buku. Inilah satu-satunya aktiviti yang saya tidak perlu kongsi dengan suami dan anak-anak. Saya bangga menjadi seorang isteri dan umi, tetapi saya juga perlu menjadi seorang individu yang mempunyai hobi tersendiri. Di sinilah bermulanya minat saya dalam buku-buku genre psikologi, parenting dan self-developement. Saya membaca bagi membantu saya mengurus keperluan emosi dan psikologi suami dan anak-anak. Tidak sangka setelah lebih 16 tahun, buku-buku genre ini menjadi sebahagian daripada hidup saya.

Pada tahun 2014, saya sekeluarga berhijrah ke Perth, Australia. Keputusan yang dibuat agak mengejutkan tetapi saya dan suami mencari sesuatu yang tidak ada di bumi Malaysia iaitu pendidikan menyeluruh untuk anak-anak. Saya coretkan pengalaman kami berhijrah dalam buku Moving Out terbitan Must Read Sdn Bhd pada tahun 2016. Ia bukan sebuah keputusan yang mudah tetapi melihat anak-anak membesar sepertimana yang saya dan suami inginkan adalah satu rahmat.



Kini, saya masih berada di bumi Perth. Masih bergelar seorang isteri dan umi tetapi mempunyai minat yang berbeza. Saya suka menulis. Buku kedua saya menceritakan tentang memoir keluarga yang diberi nama Mayang Sari. Kisah pengorbanan seorang ibu demi kelangsungan zuriatnya tanpa dikhianati oleh jin saka.

Sejak menulis kisah memoir, saya dapati kita semua ada kisah sendiri yang perlu dikongsi untuk tatapan orang luar. Saya mula membaca tips penulisan memoir yang dikongsi oleh penulis-penulis dari barat yang lebih terbuka dan realistik. Saya dapati genre begini kurang dalam pasaran buku di negara kita, dan ini peluang saya untuk mengetengahkan genre ini dalam pasaran buku Malaysia. Timbul pula rasa ingin berkongsi sedikit pengalaman yang ada di sepanjang perjalanan menyiapkan memoir ini.

Fikir saya, jika saya ada cerita, orang lain pun ada cerita yang boleh dikongsi.




Itulah serba sikit pengenalan tentang diri saya sebagai isteri, umi dan penulis. Sudi-sudilah bertandang ke rumah maya saya. Ambil yang bermanfaat dan buang yang menyesak rasa kerana kita adalah apa yang kita RASA.

No comments:

Post a Comment

Pasaran Memoir

Teks: Anie Alja Memoir Masih Rebung Ramai penulis tempatan memberi gambaran yang salah tentang seni penulisan memoir. Memoir bukan...