Tiada Harga
Sejak tahun lepas, saya diduga dengan kehilangan kawan demi kawan. Ada kawan baik dan ada suam-suam kuku. Ada yang saya sengaja tinggalkan atau mereka pergi meninggalkan saya, dua-dua pengalaman tidak menyenangkan. Kedua-duanya meninggalkan kesan yang mendalam pada diri, saya kehilangan.
Dalam usia begini, saya tidak berniat mencari salah siapa selain melihat pada diri sendiri. Separuh mungkin salah diri yang semakin cerewet dan berperangai couldn't careless. Tenaga sudah kurang untuk mencari dan memujuk. Kurang sabar dengan kerenah manusia yang hanya menunggu tanpa berusaha, menerima tanpa ada keinginan memberi. Lelah sebenarnya, bila kita berfikir orang lain sepertimana kita. Lesu sebenarnya, bila jangkaan kita pada orang sepertimana kita sanggup memberi pada mereka.
Jadi, jalan termudah saya berhenti mencari dan memberi.
Kawan Lama
Apa istilah kawan lama? Kawan yang kita kenali melebihi usia tujuh tahun. Ya, saya ada beberapa orang kawan yang melebihi usia yang diistihar psikologi sebagai kawan, tetapi lebih pada saudara seibu dan sebapa. Kawan yang mengenali kita lebih rapat daripada adik-beradik sendiri. Kawan yang kita boleh kacau mereka pada bila-bila masa sahaja. Kawan yang sanggup mendengar keluh-kesah kita tidak kira masa dan ketika, sebodoh mana sekalipun, dia sanggup menadah telinga dan melayan.
Ya, saya ada kawan-kawan lama begini tetapi lama-kelamaan keperluan saya dan mereka juga berubah. Tanpa dirancang dan tanpa dipinta, saya tidak lagi mampu menyokong keperluan mereka. Begitu juga mereka, tidak lagi mampu menyokong keperluan saya. Bicara kami berlainan nada, muzik kami berbeza alunan dan akhirnya menyepi tanpa berita. Saya tidak salahkan mereka, kami tidak mampu menyokong lantaran destinasi kami terpisah arah.
Tapi sakitnya di sini, saya rasa kehilangan.
Belajar Hormat Diri
Ini antara ilmu self-empowerment, we are important.
Bila kehadiran kita tidak lagi diraikan. Mesej 10 baris kita dibalas sebaris ayat OK, bila lima jemputan kita disertai dengan tujuh alasan, kita tahu sendiri, ini masanya untuk kita pergi meninggalkan.
Ya, antara objektif minda dan keinginan hati, ia sering berbalah. Otak berilmu meminta kita pergi meninggalkan tetapi hati yang menyayangi meminta kita menanti, pasti. Otak berkeras membentak, sampai bila. Hati merajuk sepi, mengangguk tidak pasti. Siapakah yang menang demi menjaga kehormatan diri?
Tapi yang nyata, hati ini tetap menangis kehilangan.
No comments:
Post a Comment