Monday, 13 November 2017

Bulan Madu ke Artik-I

Teks: Anie-Alja
Bulan Madu Di Laut Biru


https://www.fjordtravel.no/destination-norway/picture-gallery-bergen/
Bergen-Norway


Sebenarnya, saya sedang rindu. 


Rindu mahu menikmati panorama luar negara, mengintai angin musim gugur yang menghampiri musim salju. Rindu mahu menyarong baju sejuk tebal, bertermal di dalamnya, bersarung kaki dan berkasut kalis air. Rindu akan sapaan angin sejuk menggigil hingga ke tulang hitam, rindu akan bau keju cair bersama risoto atau pasta panas. 

Memang rindu!



Ketika rindu sedang menggamit, saya teringatkan perjalanan bulan madu bersama suami tersayang ke benua lain, satu ketika dahulu. Hampir 16 tahun berlalu, kenangan itu masih terpahat di ingatan. Belum pernah saya mencoretnya di mana-mana. Jadi di kesempatan ini, saya mahu berkongsi pengalaman bulan madu kami di Norway, menyeberangi garisan artik, kutub utara, sepelaung dari Rusia.

Tidak pernah terfikir, bulan madu kami lain daripada yang lain. Suami memilih destinasi yang tidak mungkin tercapai oleh mimpi. Kami menyusuri bersama kapal cruise Hurtigruten jauh ke kutub utara, bersaksikan matahari di tengah malam hingga melewati kawasan darat paling hujung di peta dunia, Nordkapp.


Perjalanan ini bermula setibanya kami di lapangan terbang Arlanda, Stockholm, Sweden. Sedikit kesulitan berlaku bilamana tiket penerbangan kami tersalah jadual dan tanpa banyak bicara kami terpaksa membeli tiket baharu. Berusaha agar tidak terganggu oleh rasa marah dan kecewa. Ternyata ia satu isu di luar kawalan. 


Pada tengahari, kami mengambil penerbangan domestik ke Bergen, Norway. Destinasi perairan laut bagi meneruskan misi kecil kami menaiki kapal. 
Kami tiba di Bergen pada waktu tengahari dan sempat bersiar-siar mencari makan. Kami bermalam di hotel berhampiran bandar. Keesokkan harinya, kami menikmati panorama Bergen dan mengeksplorasi kawasan sekitar. Bergen adalah sebuah bandar pelabuhan yang terjaga rapi, beruarakan industri perikanan, bercirikan legenda troll dan tinggi taraf hidupnya. 

Hampir ke jam lima petang, kami tiba di pelabuhan Bergen bersama penumpang lain, bakal menaiki kapal yang sama. 


Kapal Sr. Richard With



https://www.cruisecritic.com.au/reviews/review.cfm?ShipID=425
Hurtigruten Cruise-Image



Kapal kami diberi nama Sr. Richard With. Jumlah kabin yang melebihi tiga ratus unit, bersusun rapi, bersebelahan dan bertentangan antara satu sama lain. Memenuhi keseluruhan lima tingkat lantai kapal. Kabin kami terletak di lantai paling bawah, suami kata yang paling murah. Bertemankan sebuah tingkap kecil berbentuk bulat, kami berada sedikit atas dari paras permukaan air laut. 


Hati sedikit terkilan kerana kabin ini terletak jauh ke bawah. Menyempit nikmat dari pandangan mata burung. Tetapi ia cuma seketika, setelah kami sedari banyak masa dihabiskan dengan berada di atas dan tidak di dalam kabin, kami rasa lega! Kabin hanya bersaiz kecil tetapi cukup dengan kemudahan seperti bilik air, dua tempat tidur, kerusi dan meja. Cukuplah untuk kami tidur dan bersolat di sepanjang perjalanan ini.


Sr Richard With adalah salah satu kapal yang terdapat dalam senarai kapal misi perlancongan Hurtigruten, Norway. Kapal-kapal ini berbeza dari segi saiz, kemudahan dan waktu ia berlayar. Jadi kita perlu tahu kapal manakah yang paling sesuai untuk ditempah kerana kemudahan yang ditawarkan mungkin berbeza mengikut saiz dan waktunya. 


Selain mempunyai nama dan kemudahan berbeza, aktiviti excursion yang ditawarkan juga berbeza. Kapal kami menyusuri setiap pelabuhan yang terletak di sepanjang perairan Norway selama 7 hari dan 6 malam. Bermula dari bandar pelabuhan Bergen, Alesund, Trondheim, Bodo, Tromso, Nordkapp dan Kirkeness. Tetamu kapal boleh menempah excursion di sepanjang laluan antara pelabuhan. Antara yang saya masih ingat, kami menempah dua daripadanya iaitu lawatan pendek ke Grand Fjord dan Nordkapp.


No comments:

Post a Comment

Pasaran Memoir

Teks: Anie Alja Memoir Masih Rebung Ramai penulis tempatan memberi gambaran yang salah tentang seni penulisan memoir. Memoir bukan...