What should I feel?
Koleksi Anie-Alja |
Kerjaya yang melibatkan seni sentiasa mengundang tafsiran berbeza daripada setiap orang.
Pernah rasa, lukisan potret Monalisa tidak secantik mana pada pandangan jahil kita? Kita mungkin menilai wajah muram Monalisa, tetapi tidak pada campuran warna atau seni berus yang menghasilkan potret wajahnya. Manakan sama kecantikan perempuan kurun terdahulu berbanding pelakon Hindustan, Kajol pada zaman kini. Jadi, kejelitaan Monalisa mungkin tidak dapat diraikan oleh semua orang, termasuklah saya yang buta seni.
Atau mungkin bukan kejelitaan wajah Monalisa yang menjadikannya popular tetapi riak sedih, di sebalik wajah itu yang menghantui para peminat. Siapa tahu?
Begitu juga perasaan kita apabila membaca sebuah memoir. Walaupun penulis mengangkat sebuah nilai sejagat, contohnya kekuatan hubungan adik-beradik, tetapi tidak semestinya pembaca akan menyanjungi nilai yang sama seperti yang diketengahkan oleh penulis. Pembaca mungkin mendakwa nilai kerjasama dan persefahaman itu lebih unggul pada tafsiran mereka. Atau pembaca melihat nilai kontra seperti cemburu dan iri hati lebih menangkap pada kefahamannya.
Kita Rasa
Dalam erti kata lain, kita rasa apa yang kita rasa. Bak kata Nick Flynn, bukan kerja seorang pengkarya untuk beritahu apa yang patut orang lain rasa. Pembaca akan rasa apa yang perlu dia rasa. Bukan tugas penulis untuk memberitahu apa yang patut dia rasa.
Percaya atau tidak, ini adalah peringatan terbaik buat kita sebagai penulis kerana kita tidak tahu bagaimana penerimaan pembaca di atas karya kita. Maksudnya, kita harus berlapang dada dengan respons yang bakal diterima. Setengah pembaca mendapat nilai lain daripada apa yang kita cuba ketengahkan dalam memoir.
Contoh terdekat adalah memoir Mayang Sari. Sebagai penulis saya membawa nilai keadilan yang tidak mungkin tercangkup oleh akal fikiran seorang manusia. Pengetahuan kita berbatas, kita tidak tahu semua yang berlaku dan tidak berhak menghukum ataupun mengadili. Pengajaran diakhirnya, saya menjemput semua pembaca mengakui kita manusia hanya seorang hamba. Tidak lebih dan kurang.
Tetapi cuba baca ulasan kawan-kawan yang membaca naskah memoir Mayang Sari, rasa mereka berbeza antara satu sama lain. Mungkin seorang atau dua sahaja yang benar-benar dapat menangkap nilai yang cuba saya angkat dalam memoir ini.
Baca Ulasan MS
Kita adalah apa yang kita ALAMI dan kita adalah apa yang kita RASA.
Tidak ada yang sia-sia, semuanya adalah refleksi diri sendiri.
No comments:
Post a Comment