Teks: Anie-Alja
Cebisan kisah daripada buku Moving Out
Koleksi Anie-Alja |
Setiap sekolah mengamalkan
nilai murni yang tertentu. Guru kelas bertanggungjawab menyemai nilai murni ini
kepada setiap pelajar mereka. Pembangunan karakter adalah satu pendidikan
formal di peringkat sekolah rendah. Nilai positif seperti tanggungjawab,
hormat-menghormati, kasih sayang, amanah, jujur, dan pelbagai sifat mulia lain,
diangkat sebagai satu nilai yang perlu diraikan dalam komuniti sekolah.
“Umi, Dina dapat badge
Penelope Pursuit!” Seronok anak saya apabila diiktiraf kelebihan mereka
oleh guru.
Lencana ini membawa maksud, pelajar mempunyai kualiti
dalam memburu ilmu dan mempunyai komitmen tinggi demi mencapai potensi diri.
Mereka mempunyai bakat dalam critical
thinking. Sentiasa mengambil kira suasana sekeliling dan meraikan perbezaan
pendapat dan cara fikir.
Lencana Eddy
Environment diberikan kepada pelajar yang prihatin dalam menjaga alam
sekitar. Mereka mengambil berat tentang kebersihan dan menjaga persekitaran
kelas dan sekolah. Pelajar ini diraikan atas sikapnya yang pembersih, ringan
tulang, dan faham tentang keperluan kitar semula.
Lencana Richie
Respect diberikan kepada pelajar yang mempunyai sikap tolenrasi yang tinggi
sesama individu. Selain sikap hormat menghormati, karakter ini juga menyanjung
tinggi nilai integriti dan kejujuran, mengakui keunikan diri, dan meraikan
perbezaan individu.
Ini antara lencana yang dibawa balik oleh Dina dari
sekolah rendah. Di akhir sesi persekolahan, pelajar yang mendapat lencana
terbanyak akan diberi keistimewaan lain, seperti baucer aiskrim atau buku.
Guru kelas mempunyai peranan besar dalam mempraktikkan
nilai mulia ini. Guru akan membawa nilai ini dalam aktiviti harian di kelas,
seperti menggalakkan para pelajar berkongsi barang, menunggu giliran, dan
bersabar, sepertimana yang terkandung dalam sifat Richie Respect yang diraikan. Pelajar bukan sahaja menghafal sifat
mulia seperti menyanyikan lagu kebangsaan, tetapi guru kelas akan memastikan
mereka menjiwai sifat mulia itu dalam diri.
Setiap subjek yang diajar di dalam kelas akan diberi
nilai tambah mengikut karakter yang dipilih. Pengulangan dan latihan yang
disemai oleh guru dilakukan secara berterusan tanpa jemu. Ternyata pendekatan
ini memberi kesan positif kepada anak rebung yang dilentur. Kelak, mereka akan
keluar bersosial di luar sekolah dan membawa akhlak ini hingga dewasa.
Koleksi Anie-Alja |
Akhlak dari rumah
Benar, akhlak seharusnya
bermula dari rumah iaitu ibu bapa, tetapi pengukuhan harus disokong oleh
komuniti sekolah dan masyarakat sekeliling. Pengalaman saya mendidik anak dalam
dua dunia berbeza antara sekolah dan rumah, tidak menjaminkan kesan positif.
Mereka tidak mampu menyambung akhlak dari rumah, jika sekolah tidak meraikan
nilai yang sama. Anak rasa malu, tersisih, dan lemah diketepikan. Jika anak
kita yang hanya menunggu giliran, sedangkan orang lain tidak mengikut
peraturan.
Anak akan dibuli atau diremehkan jika mereka sahaja
bercakap jujur, sedangkan pelajar lain bebas memanipulasi kawan sekelas. Guru
yang sepatutnya mengangkat tinggi nilai kejujuran, tetapi mengambil sikap tidak
endah. Kononnya, tidak mahu memanjangkan isu yang dianggap remeh. Kesannya,
sangat negatif pada perkembangan emosi anak rebung yang baru mengenal dunia.
Betullah kata cerdik pandai, kita perlukan sekampung
untuk mendidik seorang anak. Dan inilah yang diamalkan dalam masyarakat
tempatan di sini. Sifat gotong-royong dalam mendidik anak-anak sekolah dapat
dilihat jelas dalam sistem pendidikan di sini.
Pengiktirafan terhadap sifat murni ini memberi impak
besar dalam pembentukan personaliti pelajar. Anugerah kecemerlangan tidak
terbatas pada kecemerlangan akademik semata-mata. Mereka turut meraikan sifat
positif yang ditunjukkan pelajar. Oleh itu, pelajar sekolah sentiasa berusaha
dan bersemangat mempamerkan sikap dan kelakuan yang disenangi, kerana ia diiktiraf
oleh orang sekeliling.
“Satu, dua, tiga...sembilan, badge karakter yang Dina dapat. Best, kan!” Seronok sekali
Dina menggantung lencana itu di dalam bilik tidurnya.
Apabila anak bertukar sekolah pada tahun lepas, nilai
murni yang diamalkan di sekolah baru sedikit berbeza berbanding dulu. Di
sekolah ini, nilai murni yang diraikan adalah doing your best, respect, responsible, caring, compassion, bouncing
back, dan getting along.
Saya dapat lihat kesannya dengan jelas, anak-anak membawa
nilai murni ini dalam kehidupan harian walaupun mereka berada di rumah. Mereka
mempunyai set piawaian nilai, bagaimana seharusnya individu berkelakuan.
“Umi, kena cakap terima kasih bila orang tunggu dan beri
kita jalan.” Saya sering ditegur anak apabila tidak tunjuk rasa hormat pada
orang sekeliling.
No comments:
Post a Comment