Teks: Anie-Alja
Don't try to please
Bila menulis memoir, akan ada hati-hati yang terluka. Baca Memoir Mengguris Hati
Sama ada penulis berniat menyakiti ataupun tidak, ia bukan satu pilihan. Ia adalah satu kemestian. Sebagai penulis memoir, kita belajar mengimbangi sifat karektor dengan keupayaan memahami, berasa empati dan mengangkat tinggi nilai kasih sayang terhadap watak. Penulis tidak boleh menyerang watak, dan ia harus jelas dan nyata dalam penulisan.
Penulis mesti jujur berkongsi tanpa ada niat menyakiti. Dalam masa yang sama, penulis tidak boleh membodek watak agar kisah yang ditulis tidak tercemar. Maksud lain, kejujuran itu wajib dalam penulisan memoir dan mengampu watak boleh menjejaskan jalan cerita, walau apapun alasan di sebaliknya.
Bagaimana menulis watak seorang ayah yang bengis, kedekut dan kejam jika tidak mahu menyakiti hatinya? Bagaimana menulis watak kejam seorang ayah hingga pembaca mampu membayangkan karektor itu di hadapan mata, jika kita terkepit-kepit takut bercerita?
Adakah atas alasan takut menyakiti, penulis berselindung di sebalik kejujuran dan mengambil hati ayah? Tidakkah penulis menipu pembaca dengan ketakutan yang ada? Tidakkah penulis membuang masa pembaca, meneliti naskah yang tidak membawa apa-apa hubung kait dengan mereka?
Persoalan seterusnya, bagaimana penulis membangkitkan rasa simpati, empati dan kesefahaman pada diri pembaca jika dia sendiri tidak jujur pada diri.
Penulis harus menjawab soalan ini dengan jujur.
Tulis genre lain jika penulis masih berperang dengan diri pada peringkat ini.
Memoir mendambakan sebuah kejujuran daripada perspektif penulis. Apa yang dilihat, didengari, difahami dan disaksikan, dan ini semua adalah intipati dan harta karun dalam sebuah memoir. Kefahaman penulis mungkin salah, berbeza daripada orang lain tetapi apa yang berlaku ke atas kita adalah hak kita untuk menulis mengenainya.
Mencari titik tengah antara niat menyakiti atau berselindung untuk melindungi, pasti akan merosakkan jalan kisah. Memoir akan rosak jika penulis mahu membalas dendam pada watak. Memoir turut tercemar jika kita melindungi watak atas alasan tidak mahu menyakiti.
Jadi, apa titik tengahnya?
Elak menjadi tuhan, elak menghukum dan elak membodek. Ini semua faktor yang merosakkan penulisan sebuah memoir.
No comments:
Post a Comment