Wednesday 10 January 2018

Pengalaman Eropah; Paris

Teks: Anie-Alja
Paris


Segalanya bermula apabila suami ditugaskan ke Paris pada bulan September tahun lepas, 2017. Balik daripada sana, suami kata, 'Jom ajak anak-anak ke Paris'.

Bulan sepuluh saya dan suami mengintai tiket murah di MATTA fair, tetapi pulang dengan tangan kosong. Kami tak boleh memutuskan sebab belum buat perancangan sama ada perlu ke Paris dulu atau London. Selepas siri diskusi, kami putuskan untuk terus ke Paris dan bukan London. Kami dah ronda London semasa bercuti dalam tahun 2014. Jadi, kami hanya nak fokus pada tiga kota utama di Eropah barat iaitu Paris, Zurich dan Venice.

"Mungkin masa yang bagus nak bawa Akmal lihat Eropah, terutamanya Zurich tempat dia dilahirkan."

"Akmal taknak pergi negara orang putih. Nak negara exortic."

"Dina ikut saja... mana-mana pun best."

"Penatnya nak mengemas..."

Ini luahan kami anak-beranak.


Paris Chales De Gaulle





Kami bertolak dari Kuala Lumpur ke Doha, Doha ke Paris. Dalam 24 jam perjalanan. Pengalaman bersama Qatar Airways tidak menghampakan; sangat selesa dan makanannya juga sedap memenuhi selera. Berbeza benar dengan pengalaman bersama AA, hahahha. Suasana selesa juga turut disulami dengan penumpang yang berakal menjadikan perjalanan kami selama 13 jam itu tidak memenatkan. Kami dapat rehat dengan secukupnya.

Setibanya kami di Paris, hari sudah petang dan beransur ke magrib. Kami menaiki teksi yang dipandu orang berbangsa Cina yang langsung tidak boleh bertutur bahasa Inggeris. Dalam meter tertera Euro50 sebaik saja tiba di hadapan hotel Wagram, tempat kami bakal menginap selama empat hati dan tiga malam.

"Keciknya hotel!" jerit Cik D, anak perempuan.

"Hotel di Eropah macam ni lah, kecik-kecik. Nak hotel best, breakfast sedap kena duduk 1st class atau pergi hotel di Malaysia," balas saya menerangkan.

Selama saya mengukuti suami di Eropah, jarang kami masuk hotel mewah kecuali dibayar kompeni. Kalau bayar sendiri, itu sajalah hotel yang mampu. Itupun sudah berpeluh juga membayarnya kerana kami terpaksa mengambil dua bilik. Maklumlah, anak dah besar-besar belaka. Malam pertama kami hanya makan dan tidur di bilik hotel.

Perancangannya pada hari pertama, kami akan mengambil bas hop on/hop off. Selepas keluar hotel pada pagi itu, kami terus berjalan ke pintu gerbang terkenal seperti foto di atas. Namanya Arc of Triumph, dalam jarak 15 minit dari hotel penginapan. Suasana pada pagi itu sejuk dengan suhu dalam 6 darjah celsius. Sedap untuk berjalan-jalan walaupun cuaca agak mendung.

Kami mencari lokasi untuk membeli tiket hop on/off. Rupanya, ia dijual di tepi jalan setelah mata kami mengikut perjalanan bas itu mengelilingi pintu gerbang Arc of Triumph. Pelik sekali melihat orang Paris memandu kereta. Mereka agak rakus dan bersempang-siur, terutamanya di roundabout yang mengelilingi bulatan The Arc. Sudahlah tidak mempunyai garisan jalan sama sekali. Ia sangat sibuk dan mencemaskan.

Ada pemandu menekan hon, ada yang berhenti tiba-tiba, ada yang memecut, melencong dan macam-macam lagi. Penjalan kaki juga sangat berani, mereka melintas jalan tanpa menoleh. Agaknya, kebanyakan pelancong teruja mahu mengambil foto The Arc of Triumph.

Bas hop on/off



Kami membayar tiket bas dan terus ke tingkat atas. Banyak seat kosong dan kami memilih tempat paling belakang. Dalam cuaca mendung dan ditambah dengan angin sejuk apabila bas dipandu laju, benar-benar melemaskan muka dan hidung mula terasa kebas akibat kesejukkan. Kata suami, kami akan buat satu pusingan sebelum memilih tempat turun dan bereksplorasi. Kami diberi peta lokasi bersama earphone untuk mendengar penjelasan tentang tempat-tempat yang dilalui dengan bas.

Dulu, pernah sekali saya dan suami bersama anak sulung ke Paris semasa kami menetap di UK. Saya menyesal sebab tidak mengambil bas untuk pusing di kawasan bandar. Paris sama seperti London, tidak tergagah dek badan jika hendak menapak dari satu lokasi ke satu lokasi lain. Dengan menaiki bas, paling tidak kita dapat melihat secara rambang dan menyeluruh akan suasana bandar terkenal dunia. Ia jauh lebih besar daripada banda Perth mahupun Kuala Lumpur, dan bas adalah cara terbaik jika kita tidak banyak masa untuk pusing-pusing di kawasan itu.

Di dalam bas, perjalanan agak perlahan dan terganggu oleh lampur trafik yang sangat banyak. Manakala, jarak antara satu lokasi ke satu lokasi lain juga agak jauh. Tiba-tiba anak bersuara, "Kita nak makan di mana. Macam dah lapar..."

Dalam peta kami ada ditunjuk lokasi McDonald iaitu di kawasan muzium terkenal di mana foto Monna Lisa diabadikan, Louvre Musuem. Dekat tak dekat, tetapi bas berhenti agak jauh. Kami terpaksa menapak untuk mencari lokasi restoran makanan ringan itu. Sudahlah lapar, sejuk dan kaki kami seperti longlai berjalan berpandukan peta Google dalam telefon bimbit suami. Akhirnya, kami terjumpa restoran yang dicari dan kami makan burger ikan bersama kentang.

Bersambung...

No comments:

Post a Comment

Pasaran Memoir

Teks: Anie Alja Memoir Masih Rebung Ramai penulis tempatan memberi gambaran yang salah tentang seni penulisan memoir. Memoir bukan...