Thursday 26 October 2017

Penulis Memoir

Teks: Anie-Alja
What is a memoir?


Dalam sebuah kehidupan, akan ada satu fasa unik dan terpenting yang akan kita lalui. Fasa di mana kita belajar mengenali diri dari dalam dan menjadi seorang yang lebih matang. Fasa ini mungkin pendek, tetapi terpenting dan mengandungi pengajaran mahal kepada manusia.

Ia berbeza berbanding fasa lain dalam hidup, contohnya pengalaman menjaga orang tua atau suami yang menderita terminal illness. Fasa kita kehilangan pekerjaan dan berusaha berdikari dalam serba kekurangan. Fasa kehilangan orang yang dicintai atau kehilangan upaya badan untuk bekerja. Fasa di mana kita banyak mengenali kekuatan dan kelemahan diri, menjadikan siapa diri kita pada hari ini. Fasa yang mengubah cara kita melihat dunia dan menilai orang sekeliling.

Inilah uniknya penulisan memoir.

Pengalaman unik sama ada sedih, kecewa, duka atau perit menjadikan kita kuat dan lemah dalam ketidaksempurnaan. Seribu satu pengalaman yang mengandungi ibrah bagi mendewasakan dan mematangkan diri. Ia menjadi satu petanda yang kita adalah individu berbeza berbanding orang lain. Kita adalah apa yang kita alami dan rasai. Maka tentunya sejarah hidup berbeza antara setiap daripada kita.

Memoir tidak perlu bermula daripada tarikh lahir hingga ajal; tempat kita bersekolah atau pengiktirafan apa yang diterima bagi melayakkan kita menulis. Ia adalah cebisan kisah hidup yang memberi kesan maksimum pada jiwa. Fasa yang mengubah sudut pandang kita pada sesuatu kejadian sama ada sedih atau gembira. Fasa yang mencorakkan cara kita melihat dan berfikir tentang kehidupan lain selepas itu. Fasa yang banyak memberi kesan calar dan kudis dalam jiwa seorang hamba, isteri, anak atau sesiapa pun kita.

Inilah yang diangkat dalam sebuah penulisan memoir.

Kita mungkin seorang isteri yang kematian suami di usia muda, bagaimana kita bangkit memperjuangkan keperluan seorang balu dan ibu kepada anak-anak yang kehilangan tempat bergantung.

Kita mungkin seorang anak yang didera emosi dalam sebuah keluarga sederhana, mengajar kita menyelami hati-hati anak lain yang terbiar di luar sana.

Kita mungkin seorang petani, surirumah, guru atau sesiapa sahaja yang mempunyai kisah untuk dikongsikan. Secebis kisah yang memberi pengajaran, perkongsian, luahan rasa dan kebenaran yang dipelajari selama hidup di atas dunia.

Inilah yang bakal dikongsi dalam sebuah memoir.

Tidak ada dua, kita adalah apa yang kita alami.


No comments:

Post a Comment

Pasaran Memoir

Teks: Anie Alja Memoir Masih Rebung Ramai penulis tempatan memberi gambaran yang salah tentang seni penulisan memoir. Memoir bukan...