Sunday 19 November 2017

Apa itu naratif?

Teks: Anie-Alja
Naratif?

Imej Google

Dalam sebuah penceritaan harus ada naratif dan dialog. Naratif mengandungi lima asas di dalamnya menjadikan sebuah kisah itu hidup; penuh penghayatan watak dan keindahan persekitaran, berubah-ubah perspektif mengikut karektor dan menawarkan 1001 rasa kepada pembaca. Melalui naratif, kita tahu bila dan di mana kisah ini bermula dan berjalan. Melalui naratif kita mengenali watak-watak di dalamnya. Melalui naratif juga kita mampu faham tema sejagat yang cuba disampaikan oleh penulis. Bersama watak, tema dan plot, pembaca dilambung emosi bersama mood yang dijalin kemas dalam sebuah kisah.

Setting adalah landasan di mana kisah kita mula berlayar. Ia perlu ada lokasi, tahun dan zaman kisah itu bermula. Katalah kita mahu menulis tentang kisah terkenal Hang Jebat dan Hang Tuah, lokasinya jelas di sebuah negeri bernama Melaka. Zaman pemerintahan sultan Melaka yang berapa? Cara mereka hidup, makan dan berpakaian. Apakah cerita rakyat yang popular pada zaman itu? 

Apa saja persekitaran dan suasana boleh ditokok bagi menambah pengalaman dan pengamatan pembaca.

Kebiasaannya, kisah Hang Jebat dan Hang Tuah berkisarkan nilai persahabatan. Dalam dunia persahabatan akan dilengkari dengan isu-isu kasih sayang, rajuk dan cemburu. Tema adalah satu nilai sejagat yang penulis angkat dalam sebuah penulisan. Kisah Hang Jebat dan Hang Tuah mengangkat nilai kejujuran antara dua sahabat, contohnya.

Karektor adalah watak yang berlayar dalam sebuah pelayaran. Hang Jebat dan Hang Tuah adalah watak yang beraksi dalam kisah ini. Mereka akan dilingkari isu dan konflik; berubah perasaan dan perspektif bersama kejadian yang berlaku di keliling. Watak akan berinteraksi dan memberi maklumbalas dengan apa yang terjadi.

Plot adalah titik demi titik sesuatu kisah itu bergerak. Dalam pergerakan itu, apa cabaran dan konflik yang timbul. Satu demi satu, bagaimana watak menghadapinya dan rentetan apa yang berlaku kemudiannya. Plot ini yang menggerakkan sebuah kisah, bukan watak dan bukan tema. Plot yang laju dan fokus, menjadikan pembaca terikat pada buku yang ditulis.

Mood berubah-ubah mengikut plot dan karektor, dan ia menambah rasa kepada pembaca. Adakala, kita melihat Hang Tuah dengan rasa marah dan benci kerana menganiaya sebuah nilai persahabatan. Ada rasa sedih dengan watak Hang Jebat yang cuba membela nasib seorang abang yang disangkakan dianiaya oleh sultan. Mood bertanggungjawab menerbitkan rasa sayang, emosi, empati, benci dan 1001 kepada pembaca. 

Saya berani katakan, mood ini akan tinggal lama dalam diri pembaca apabila mereka selesai membaca. Bak kata Mark Twain, A success book is not made of what is in it, but what is left out of it.


No comments:

Post a Comment

Pasaran Memoir

Teks: Anie Alja Memoir Masih Rebung Ramai penulis tempatan memberi gambaran yang salah tentang seni penulisan memoir. Memoir bukan...