Saturday 21 October 2017

Mula Menulis

Teks: Anie-Alja
Bagaimana mula menulis?

Imej Google



Bagaimana mahu mula menulis?

Jawapannya MENULIS.

Janganlah berangan mahu menulis, tetapi basuh pinggan dan berkebun saja kerjanya.

Apakah prasyarat menulis? Kata guru penulisan di ITBM, baca, baca, baca, baca dan TULIS. Bak kata Stephen King, susah mempercayai seseorang yang malas membaca tetapi menjangka pembaca akan menyukai hasil tulisannya. Jadi, prasyarat menulis adalah membaca dalam nisbah 4:1.

Setengah penulis veteran mengatakan, aktiviti menulis ibarat kita menunggang sebuah basikal. Kita harus mengayuh supaya badan boleh seimbang dan basikal terus meluncur maju ke hadapan. Jika kita terlalu berhati-hati dan takut melakukan kesilapan, kita tidak mampu mengayuh basikal apatah lagi meluncur laju dengan keseimbangan badan. Ia agak mustahil.

Jadi, buka laptop dan mulalah menulis.


Imej Google




Penulis hebat

Secara peribadi saya suka penulis yang menjual idea pada pembaca. Penulisan ada pelbagai kategori atau genre. Ada yang suka menulis tentang laporan seperti hobi, lawatan lokasi, catatan pengalaman hidup, novel fiksyen, puisi, anekdot atau pelbagai jenis penulisan lain. Apa pun kesukaan genre, kita harus rajin menulis.

Penulis hebat pada saya adalah mereka yang besar peribadinya iaitu berani dan jujur dalam penulisan. Mereka berani mengetengah idea sendiri tanpa berselindung atau takut-takut, bimbang tidak diterima. Bung Hamka mengatakan, mereka yang hebat peribadi bukan daripada kalangan hamba kitab. Bersembunyi di sebalik kitab atau idea masyhur penulis atau pemimpin lain.

Saya fikir, penulis hebat juga tidak berselindung di sebalik kitab-kitab terkenal yang dibaca. Penulis yang hebat peribadi mampu mengorek, mengupas, menjalin dan memahamkan idea, diserasikan dalam konteks zaman kini dan diadun dengan pengalaman sendiri. Ustaz Nouman Ali Khan antara pendakwah dan penulis yang saya gemar. Dakwahnya segar dan kupasannya relevan sepanjang zaman.

Pembaca mahukan kesegaran dalam penulisan, bukan ulangan demi ulangan idea kitab-kitab lama sahaja. Jadi, karektor penulis hebat seharusnya berani dan jujur. Penulis berani dan jujur mempunyai aura tersendiri yang membezakan dirinya berbanding penulis lain. Pembaca akan tertarik pada idea, informasi, pengalaman dan cara mereka memerhati dunia sekeliling dalam penulisan.

Definasi penulis hebat ini agak terlalu jauh daripada kita walaupun saya sendiri. Tetapi apa yang perlu kita lakukan adalah sentiasa membaca dan berterusan menulis. Hanya melalui pembacaan, idea yang hadir tidak akan kering dan sentiasa berevolusi, beradaptasi dengan keadaan sekeliling.

Menulis, mulakan sekarang.



No comments:

Post a Comment

Pasaran Memoir

Teks: Anie Alja Memoir Masih Rebung Ramai penulis tempatan memberi gambaran yang salah tentang seni penulisan memoir. Memoir bukan...