Sunday 22 October 2017

Moonlight Cinema

Teks: Anie-Alja
Wayang Lambak Kings Park

Moonlight Cinema_FBphoto




Dulu-dulu masa menetap di kem askar, saya selalu ikut mak dan ayah menonton wayang lambak di padang sekolah. Ada sebuah van kecil meronda di kawasan rumah flat askar dan budak-budak berkejaran menghambat van. Pemandu meronda-ronda dan seorang lagi membaling flyers filem yang akan ditayangkan. Abang yang berusia tujuh tahun selalu membawa balik flyers ke rumah. Kami sering menagih simpati mak dan ayah supaya membawa kami menonton wayang. Antara filem yang saya masih ingat adalah lakonan pelawak AR Badol dan Hussein Abu Hassan sebagai pendekar jahat.

            “Wah, kawan umi kata ada wayang lambak kat sini...jom tengok!” Teruja saya bercerita dengan anak-anak tentang kenangan wayang lambak bersama tok dan tokwan.

            “Errr...wayang apa tu?” Soal Dina, muka berkerut tidak faham.

            “Wayang lambak...alaaa wayang yang kita tengok kat padang, ramai-ramai,” jelas saya.

            “Kat padang...kena beli tiket tak?” Akmal pula menunjukkan muka kelabu asap.

            “Yaaa, kena beli tiketlah...tapi kita tak tengok dalam panggung wayang macam biasa. Kita berkumpul ramai-ramai kat padang dan semua orang datang dengan barang-barang sendiri. Nak bawa bantal, kerusi, bean bag...suka hati. Bawaklah apa-apa saja kat padang tu nanti!” Panjang lebar saya menerangkan perihal wayang lambak kepada anak-anak.

            Ternyata penjelasan saya mengundang rasa ingin tahu dalam diri mereka. Anak-anak belum pernah lalui pengalaman pelik begini.

            “Tengok wayang kat padang...how weird is that!” Dina masih buat muka pelik.

            Seperti yang dijanjikan, kami mengumpul barang-barang untuk dibawa ke padang. Makanan yang dibawa cukup banyak, macam boleh duduk tiga malam. Seronok punya fasal, semua kami masukkan dalam beg piknik tahan panas.

            “Umi dah tengok weather forecast? Macam mendung nak hujan ja!” Soal suami.

            “Oh ya ka...alahai! Punyalah panas beberapa minggu ni. Tak aci betul,” komen saya.

            Wayang lambak tidak diadakan di sepanjang musim. Ia hanya berlangsung dalam musim panas hingga awal musim luruh. Jika terlepas musim ini, kami terpaksa tunggu hingga masuk musim panas di penghujung tahun hadapan. Lama tu!

            “Alaa...Dina nak tengok Kungfu Panda 3.” Dina menyampuk setelah mendengar perbualan antara saya dan suami.




Kings Park
Moonlight Cinema_FBphoto
 

Kami bertolak ke Kings Park selepas pukul 5.00 petang. Kaunter tiket beroperasi pada pukul 6.00 petang, jadi kami bergerak awal supaya dapat memilih spot paling sesuai. Kings Park adalah sebuah taman di dalam bandar yang terbesar di dunia. Keluasannya mencecah beribu ekar, tidak berdaya berjalan kaki dan harus diredah menaiki kenderaan.

            Bermacam-macam yang ada di dalam taman itu. Pusat rekreasi, kafe, tasik, padang permainan kanak-kanak, tempat memanjat, tapak konsert, dan tempat bersejarah muda-mudi melangsungkan majlis berkahwinan. Selain itu, Kings Park adalah lokasi paling tepat untuk merakam keindahan panorama bandar Perth dari pandangan mata burung.

            Pada musim bunga, di sinilah syurga buat pencinta-pencinta bunga liar. Pelbagai jenis bunga dapat kita lihat, cantik, unik, berwarna-warni, dan meliar di mana-mana sahaja.

            “Wah, dah ramailah orang datang.” Saya terkejut melihat kereta mula beratur mencari tapak parkir.

            “Cepat-cepat...angkut barang kita cepat!” Dina tidak sabar dan melompat turun dari kereta.

            “Apa kata...kita jangan angkut barang-barang tu dulu. Malu nanti orang nampak kita bawa bantal belang!” Suami beri cadangan, disertai gelak ketawa anak-anak.

            Kami berjalan mencari padang dan mengintai-intai di mana letaknya skrin putih.

            “Tak nampak bayang skrin pun!” Saya mula rasa pelik.

            Kami berpusing-pusing di situ untuk memastikan kami berada di tempat yang betul. Di mana letaknya kaunter? Nampak sunyi sahaja. Tadi ternampak banyak kereta yang parkir di luar, tapi kebanyakan pengunjung datang bermain di padang permainan, terletak tidak jauh dari situ.

            Kami ternampak kontena berwarna hijau, ramai juga orang berkumpul di situ. Kami berempat menghampiri kontena itu dan terbaca papan tanda yang diletakkan di tingkap kaunter.

            Ia berbunyi ‘Kungfu Panda 3 has been cancelled due to Adverse Weather Conditions.’

            Terkebil-kebil kami memandang sesama sendiri. Saya terpaku membaca papan notis itu. Mendongak melihat langit yang mendung, tapi tiada tanda-tanda akan hujan. Wajah Dina muncung masam tidak berpuas hati.

            Akmal gelak tarik nafas lega, “Nasib baik kita tak angkut bantal belang!”

            Dalam kecewa kami tergelak sesama sendiri apabila melihat orang lain beria-ia mengangkut sleeping beg, bean beg, kerusi camping, meja, bakul piknik, khemah, dan segala mak nenek. Semua berwajah hampa apabila mendapat tahu wayang Kungfu Panda dibatalkan. Penganjur ada menghantar mesej pembatalan tetapi ia agak lewat, iaitu lapan minit sebelum kaunter tiket dibuka. Ramai meluahkan rasa tidak puas hati.

            “Jom balik!” Saya bersuara perlahan tanda kecewa, tidak ada mood.

            “Jom carik wayang lain, ada lagi satu kan?” Tiba-tiba suami memberi cadangan tidak masuk akal.

            “Ada...tapi tak tahu kat mana. Nak kena bayar tiket lagi. Dah la mahal!” Saya menjawab acuh tak acuh, masih kuciwa.

            Percaya atau tidak, kami berjaya mencari wayang lambak lain tidak berapa jauh dari lokasi Kings Park. Ia terletak di Burswood dengan bantuan mak cik Google dan pak cik Waze. Ia dikenali sebagai Community Cinema McDonald dengan bayaran berpatutan. Kami mendapat spot menarik iaitu di bawah lampu projektor filem. Jadi, ia agak terang untuk kami menyiapkan tapak menonton. Suami menghampar tikar piknik, membuka bekalan makanan, menyusun kerusi camping, dan bantal belang menjadi rebutan antara anak-anak dan suami. Saya dan Dina bersiap-siap ke tandas sebelum wayang bermula. Macam pergi berkelah di tepi pantai rasanya.

            Padang di Burswood tidak sebesar dan secantik di Kings Park. Pekerjanya terdiri daripada mak cik dan pak cik tua, bersesuaian dengan konsep menonton sambil menderma. Itu sebab agaknya, tiket di sini lebih murah berbanding di Kings Park. Pada penonton yang membayar lebih, mereka menonton di bahagian hadapan bersama bean bag serta mendapat layanan istimewa seperti penghantaran makanan dan minuman semasa menonton.

            Pengunjung lain juga boleh menyewa bean bag di situ. Kebanyakan penonton adalah seperti kami, mengangkut segala yang ada untuk menjimatkan kos.

            Anak-anak seronok melalui pengalaman pertama dan unik sebegini. Kami semua berjaya menonton Kungfu Panda 3 pada malam itu, tanpa setitis hujan.

            Dalam diam, kenangan saya bersama emak dan arwah ayah bermain dalam fikiran semasa menetap di kem askar. Ternyata, saya rindukan mak dan arwah ayah. Tidak sangka, saya boleh ulang kenangan ini bersama keluarga sendiri.






No comments:

Post a Comment

Pasaran Memoir

Teks: Anie Alja Memoir Masih Rebung Ramai penulis tempatan memberi gambaran yang salah tentang seni penulisan memoir. Memoir bukan...