Monday 16 October 2017

Lapathon, Musim Bunga

Teks: Anie-Alja
Aktiviti Lapathon





Dua minggu sebelum hari Lapathon, Dina tidak habis-habis mengingatkan saya, “Umi jangan lambat, bawa bekal, bawa tikar, bawa air panas, dan pakai topi.”

            “Kot celah manalah umi nak angkut segala mak nenek barang berkelah. Umi kan naik bas!” Balas saya. Kebetulan waktu hujung tahun begitu, peruntukan elaun teksi pun dah habis.

            Saya malas nak beralasan dengan Dina, nanti mukanya sememeh kesedihan. Jadi, untuk tidak menghampakan harapan anak, saya bersiap awal pagi.  Hampir sejam setengah untuk sampai ke sekolahnya, saya terpaksa naik dua buah bas dan kereta api.

            “Tolong brief umi, lapathon ni apa bendanya pulak?” Soal saya beberapa hari sebelum itu.

            “Lapathon...hari Dina dan kawan-kawan berlari kat padang sekolah. Kami lari dengan muzik, ramai-ramai keliling padang,” jelas Dina.

            Semua pelajar diharuskan mengambil bahagian dan ia bertempat di padang sekolah, oval sebutan orang sini. Ini adalah acara larian di sekolah dan ibu bapa digalakkan datang membawa bekalan piknik sambil melihat mereka berlari di padang.

            Seperti yang digambarkan oleh Dina tahun lepas, ia seakan-akan acara pesta di sekolah. Setibanya di situ, saya lihat ramai ibu bapa sudah memenuhi kawasan padang yang dibayangi pokok-pokok tinggi di sekitarnya. Ada yang menghampar tikar di atas rumput, ada yang bawa kerusi camping, dan kelihatan bakul-bakul piknik di sisi mereka. Meriah dan berwarna-warni, itulah perkataan paling tepat bagi mengambarkan suasana itu.

            “Hi, are you Dina’s mom?” Saya disapa seseorang.

            “Come, join us here....” Ramah sekali mak-mak yang datang menyokong aktiviti ini. Saya mengikuti tanpa rasa segan, mereka memang peramah.




            Suasana agak nyaman pada musim bunga, walaupun jam di tangan menunjukkan pukul 11.00 pagi, tetapi hembusan angin ketara sejuknya. Semakin ramai yang mengalih tikar keluar daripada bayangan redup pokok untuk mendapat sinaran matahari. Kombinasi cahaya matahari dan angin sejuk, cukup sempurna untuk anak-anak bersuka ria di padang. Tidak berpeluh belengas, sepertimana cuaca panas lembap di negara khatulistiwa.

            Anak-anak sekolah diberikan kad penanda bagi mengesahkan berapa pusingan larian yang berjaya diselesaikan. Mereka berlari dengan gelak ketawa, usik-mengusik, dan gurau senda. Tambahan lagi, aktiviti larian disulami alunan lagu-lagu ‘hot’ pada ketika itu. Semakin rancak anak-anak itu berlari.

            Tiga atau empat minggu sebelum Lapathon bermula, Dina membawa balik sekeping kertas derma. Setiap ahli keluarga diminta menderma berdasarkan bilangan pusingan yang akan pelajar lari. Setiap pusingan mewakili berapa $ yang akan diderma. Contohnya, saya menderma $1 untuk satu pusingan larian. Jumlah yang saya derma adalah $10 untuk sepuluh pusingan dan $10 itu akan masuk ke tabung sekolah. Maksudnya, pelajar harus lari sepuluh pusingan atau jika kurang, jumlah derma pun akan berkurang mengikut pusingan yang mereka mampu.

            Ini adalah antara kaedah pungut derma paling popular di sekolah-sekolah rendah.

            Ramai cikgu dan ibu bapa berlari bersama-sama pelajar. Ia seperti aktiviti kekeluargaan. Sesetengah ibu atau bapa berlari sambil memegang tangan anak-anak. Ada juga anak-anak kecil yang belum bersekolah ikut berlari bersama kakak dan abang yang bersekolah.

            “This is not a lapathon...is a picnicthon.” Gelak kami, mak-mak yang sibuk makan di tepi padang.


“Umi...umi....!” Dina menjerit setiap kali melintas dan melambai tangan di hadapan saya dengan gelak ketawa bersama kawan sekelas.

            Jelas terbayang keseronokan anak-anak berlari diiringi muzik dan lagu kegemaran masa kini. Guru kelas menyambut pelajar yang berjaya membuat pusingan larian dan mencatitnya dalam kad larian lapathon. Selesai acara, cikgu mengumpul kad lapathon dan mengutip derma.

            Ini adalah acara tahunan yang diadakan di semua sekolah pada musim bunga. Musim yang sesuai untuk beriadah, berpiknik, dan bersuka ria di luar bilik darjah mahupun rumah, selepas berbulan berkurung dan berselimut pada musim sejuk.





No comments:

Post a Comment

Pasaran Memoir

Teks: Anie Alja Memoir Masih Rebung Ramai penulis tempatan memberi gambaran yang salah tentang seni penulisan memoir. Memoir bukan...