Tuesday 5 December 2017

Bulan Madu ke Artik-3

Teks: Anie-Alja
Bulan madu ke laut biru



Midnite Sun-Norway
Imeg Google

Hi, masih di sini, masih belum habis catatan bulan madu ini. 
Ringkasnya, dalam entri bulan madu, kita sudah tahu serba sedikit tentang keunikan negara Norway. Kita juga boleh berangan serba-sedikit tentang keadaan kapal yang dinaiki oleh saya di sepanjang perairan melepasi garisan artik ke kutub utara. 

Sebagai negara yang terkenal dengan gelaran Midnight Sun, kita dapat melihat  matahari di sepanjang hari, 24 jam tanpa henti dan tanpa gelap dalam musim panas. Semakin kapal bergerak ke atas menghampiri kutub utara, menyeberangi garisan artik, semakin panjang masa untuk penumpang kapal melihat matahari di tengah malam. 

Bunyinya bagaikan tidak masuk akal. Kenapakah matahari tidak terbenam ke dalam laut sepertimana biasa kita lihat? Tidak ada sunset, cuma sunrise. Rupanya, apabila kita melepasi garisan artik di utara ataupun garisan antartika di selatan. Fenomena musim dan matahari berubah sama sekali. Saya pun takjub dengan kebesaran ciptaan tuhan. Selama ini, saya hanya berpeluang membacanya daripada majalah. Tak sangka, berpeluang melihatnya di hadapan mata. 

Jika di kutub utara, kita boleh menyaksikan aurore pada musim sejuk, iaitu enam bulan sejuk tanpa secalit cahaya. Kita boleh melihat matahari tengah malam pada musim panas selama enam bulan, tanpa secalit malam. Setiap enam bulan, fenomena ini bertukar. Enam bulan siang dan enam bulan malam. Bayangkan. Siang sepanjang masa selama enam bulan, dan malam selama enam bulan. Boleh depresi dibuatnya jika tidak biasa.

Bagaimana agaknya matahari malam ini membuat putaran "tenggelam dan menyinsing".

Mengumpan spot


Kami menunggu saat-saat bermakna ini di atas dek kapal paling atas. Dek paling istimewa yang saya ceritakan sebelum ini. Kami mahu merakam detik bersejarah ini sebaiknya buat kenangan seumur hayat. Itulah janji kami awal-awal lagi apabila datang ke sini.

Sebaik sahaja selesai makan malam, dek sudah dipenuhi oleh tetamu-tetamu kapal. Sukar hendak mencari "spot" sesuai untuk merakam matahari tengah malam. Sebenarnya, kami hanya ada satu malam saja peluang untuk melihat matahari itu. Jadual pelayaran kami tidak berapa tepat dalam musim panas, sipi-sipi musim panas. Jadual pelayaran dalam musim panas tersangatlah mahal belanjanya. Sipi pun sipilah, ini saja yang kami mampu.

Jadi misi kami pada malam itu sungguh jelas. Sebaik sahaja habis makan malam, kami bergegas turun ke kabin dan membawa semua keperluan seperti kamera, videocam, jajan, air minuman, selimut tebal dan tidak lupa juga buku cerita. Menanti dengan penuh sabar, hingga ke jam tepat 12 tengah malam. Perlahan-lahan tetamu kapal beransur kurang di dalam dek. Mereka tidak mampu bertahan dan masuk ke kabin untuk berehat. Inilah peluang keemasan kepada kami berdua untuk mengambil alih tempat strategik mereka. 

Pasti ada yang bertanya, mengapa tetamu kapal tidak berdaya menunggu ke detik jam 12 malam seperti kami. Jawapan yang terfikir oleh saya ialah mereka mempunyai banyak wang untuk datang semula ke pelayaran Hurtigruten. Mungkin ramai yang berasal dari negara Skadinavian, jadi mudah bagi mereka untuk mengulangi pelayaran midnite sun. Tidak seperti kami berdua. 


Satu lagi, hampir 90% daripada tetamu kapal adalah terdiri daripada orang-orang pencen dan veteren. Usia tetamu-tetamu pencen ini tidak semuda dan bertenaga seperti saya dan suami. Kebanyakannya melebihi usia 65 tahun. Rata-rata, mereka dalam misi percutian pencen. Lebih tepat, menghabiskan duit pencen yang selama ini dikumpul. Jadi, mereka relaks saja berbanding kami yang mempunyai misi yang agak spesifik. Atau mereka mungkin akan berpatah balik ke pelabuhan Bergen di awalnya, jadi mereka ada banyak masa lain untuk menyaksikan midnite sun.

Manakala kami tidak bercadang untuk berpatah balik.



Spot Anggun



Midnite Sun-NordKapp
Imej Google

Kelesuan tetamu veteren memberi peluang pada saya dan suami, melompat dari sofa ke sofa hingga mendapat "spot" yang paling anggun! Sofa empuk kami mengadap ke laut lepas dan berselindung di sebalik dinding kaca tebal berlapis. Memisahkan angin kutub utara daripada menyapa tubuh kami yang sudah sedia kesejukkan. Berbaju tebal, berselimut bulu masih belum mampu menahan kesejukkan yang dirasai. Tambahan pula perut kami yang kekenyangan, lokasi dan posisi ini sangat sesuai untuk kami berdua hanyut dalam mimpi. Saya terlelap buat beberapa kali. Setiap kali itu juga, suami menyuruh saya minum air panas untuk kekal segar. Suami gigih berjaga dan bertarung dengan mata yang semakin kelat. 


Dia mengejutkan saya sekali lagi, di saat matahari benar-benar terpacak di atas permukaan laut pada tepat jam 12 malam. Saya cuba menghayati detik itu sebaik-baiknya. Cuba merakam segalanya dalam fikiran agar boleh dikongsikan bersama. Perasan saya pada waktu itu, penuh kekaguman pada kebesaran Ilahi.

Keadaannya seperti menanti matahari tenggelam ke dalam laut pada waktu senja. Kebiasannya, bola cahaya akan hilang bagaikan masuk ke dalam lautan. Tetapi, pengalaman ini berbeza. Bola matahari membuat u-turn tanpa tenggelam dan terus menyinsing fajar. Ya, tidak ada sunset tapi terus sunrise. Bagaikan tidak wujud waktu isyak dan kami kehabisan waktu subuh. Ajaib! 

Bagaimana agaknya kami bersolat?

Semuanya terakam indah dalam kotak memori. Bersama rakaman videocam sebagai simpanan karun kami berdua. 

NordKapp

Destinasi NordKapp adalah daratan paling utara dalam peta dunia. Kami membuat excursion untuk ke lokasi ini. Menaiki bas bersama penumpang-penumpang lain. Ada sebuah kedai cenderahati di kawasan berdekatan. Kami memahat pengalaman ini dengan membeli sekeping sijil pengiktirafan, kami sudah menjejak kaki di daratan paling hujung di atas dunia.

Di atas sijil itu terpahat nama kami berdua dan tarikh bersejarah kami di lokasi, bersama dengan stamp 'NordKapp'. Saya juga membeli sebuah mug sebagai tanda kenang-kenangan. Entah bilalah kami dapat mengulangi detik ini sekali lagi. Mungkin inilah kali pertama dan terakhir.

Kata suami, kami akan menaiki cruise ke selatan selepas ini.

No comments:

Post a Comment

Pasaran Memoir

Teks: Anie Alja Memoir Masih Rebung Ramai penulis tempatan memberi gambaran yang salah tentang seni penulisan memoir. Memoir bukan...