Thursday 30 November 2017

Point of View- POV

Teks: Anie-Alja
Siapa Bercerita?



Perkataan ringkasnya adalah POV; menjawab soalan, siapakah yang bercerita?

Penulis perlu memilih POV yang sesuai dan serasi untuk berkongsi cerita. Syaratnya, satu POV untuk keseluruhan penceritaan yang ditulis. Tidak boleh bertukar-tukar POV kerana ia akan mengelirukan pembaca.

Ada tiga POV yang selalu digunakan dalam penulisan iaitu POV-orang pertama, kedua dan ketiga.

Lihat fotoinfo di atas.

Pertama

Orang yang bercerita itu mungkin diri sendiri iaitu POV-PERTAMA. Contohnya, kita bercerita tentang pengalaman mengikuti rombongan sekolah ke Pulau Tioman. Apa yang dialami dan dirasai, sepanjang waktu dalam aktiviti rombongan itu. Kita melihat guru-guru memberi arahan pada pelajar. Kita menjadi saksi bagaimana kecohnya para pelajar sewaktu berkumpul untuk menaiki bot di jeti. Kita alami dan berkongsi, betapa letihnya badan dihayun ombak laut dalam perjalanan ke pulau. Ini semua adalah sudut pandang diri kita sebagai penulis.

Dalam sudut pandang ini, kita HANYA TAHU apa yang kita fikir, alami dan rasa. Kita tidak tahu apa yang ada dalam fikiran guru-guru. Kita tidak dapat menjangka, apa pandang orang keliling pada rombongan sekolah kami. Jadi, jangan melompat dalam fikiran orang lain, seolah-olah kita ada kuasa sakti atau berlagak seperti tuhan.

Kita selalu menggunakan POV ini semasa mula belajar menulis di sekolah; saya, saya, dan saya.

Kedua

POV-KEDUA, selalu digunakan dalam penulisan berbentuk arahan dan nasihat. Contohnya, anda dikehendaki mengikut arahan. Kalian diminta untuk bersiap sedia sebelum masuk ke bengkel kami. Kebanyakan ayat-ayat arahan menggunakan pov ini untuk memberitahu. Penulis memberitahu pembaca dan memanggil mereka dengan kata ganti diri kedua; anda, awak dan kalian.


Ketiga

POV-KETIGA adalah sudut pandang orang lain yang tidak ada di dalam kisah. Seakan-akan kisah itu ditulis orang seseorang yang berada di luar cerita yang dikongsikan. Kata ganti diri ketiga seperti dia, mereka atau nama watak digunakan dalam penulisan ini.

Bagaimana pun, POV-ketiga ada dua kategori iaitu terhad dan tidak terhad. Dalam POV-ketiga terhad, penulis hanya bercerita dari satu sudut pandang sahaja. Contohnya, watak pertama dalam sesebuah kisah. Sebagaimana pov-pertama, penulis dapat menyelami perasaan watak pertama tetapi menggunakan nama watak dalam penulisan.

POV-ketiga tidak terhad mempunyai autoriti yang lebih luas dan harus digunakan dengan berhati-hati. Penulis seolah-olah dapat masuk ke dalam hati dan fikiran semua watak yang ditulis. Penulis bukan sahaja mendapat kebenaran masuk ke dalam minda watak pertama, tetapi juga watak-watak sampingan. POV ini tidak begitu mudah ditulis kerana peluang untuk mengelirukan pembaca adalah tinggi. Tetapi sebagai penulis yang sudah matang, boleh saja untuk cuba menukar gaya menulis.

Tidak ada yang salah bila kita masuk ke dalam dunia kreativiti.

Kita bukan brain surgeon.


No comments:

Post a Comment

Pasaran Memoir

Teks: Anie Alja Memoir Masih Rebung Ramai penulis tempatan memberi gambaran yang salah tentang seni penulisan memoir. Memoir bukan...