Thursday 9 November 2017

Cantas

Teks: Anie-Alja
Omit Needless Words

Imej Google_William Strunk, Jr


Maksud ringkas di sebalik ungkapan popular ini adalah penulis wajib potong atau buang perkataan bertindih dalam satu ayat atau satu perenggan. Agar penulisan tidak leweh dengan perkataan tidak perlu lalu memberatkan bacaan. Ini adalah teknik paling berkesan untuk menyunting manuskrip setelah penulis selesai menulis draf pertama.

Draf pertama penulisan diandaikan seperti kebun bunga yang terbiar. Seolah-olah, kita  membaling benih bunga dan membiarkannya tumbuh secara sukarela. Proses kedua iaitu penyuntingan di mana penulis akan mencantikkan kebun bunga dengan mencantas ranting atau tumbuhan tidak perlu. Meracun dan menarik keluar semua rumput-rampai yang menyemakkan kebun bunga.

Idea ini diperkenalkan oleh William Strunk, Jr dalam buku terkenal beliau Element of Style. Sebuah buku penulisan yang wajib dibaca oleh semua penulis di barat jika menghadiri kelas penulisan. Konsep ini diterima pakai secara meluas kerana ia menggalak penulis menilai karya sendiri sebelum dihantar kepada editor penerbitan. Dalam kata lain, penulis harus ada kebolehan mencantas ayat leweh, bertindih dan berulang. Menjadikan tulisan kita lebih jelas, terang, padat dan tepat.

Saya berlatih menggunakan konsep ini dalam penulisan artikel majalah. Kita semua sedia maklum, penulisan artikel mempunyai had perkataan tertentu. Jadi, ia satu platform terbaik untuk berlatih membuang perkataan lebihan supaya ayat kita lebih jelas dan padat.

Contoh perkataan leweh yang dicantas:

Buku yang dibawa adik diangkut saja ke mana-mana.
Adik membawa bukunya ke mana-mana.

Mesyuarat yang dibentangkan itu menceritakan tentang topik cuaca.
Mesyuarat itu membincangkan isu cuaca.

Persoalannya sama ada kita perlu atau tidak menjemputnya datang.
Kita perlu menjemputnya atau tidak.

Contoh lain boleh dilihat pada imej di bawah:

Imej Google

No comments:

Post a Comment

Pasaran Memoir

Teks: Anie Alja Memoir Masih Rebung Ramai penulis tempatan memberi gambaran yang salah tentang seni penulisan memoir. Memoir bukan...