Sunday 12 November 2017

Lencana Karektor

Teks: Anie-Alja
Cebisan kisah daripada buku Moving Out


Koleksi Anie-Alja



Setiap sekolah mengamalkan nilai murni yang tertentu. Guru kelas bertanggungjawab menyemai nilai murni ini kepada setiap pelajar mereka. Pembangunan karakter adalah satu pendidikan formal di peringkat sekolah rendah. Nilai positif seperti tanggungjawab, hormat-menghormati, kasih sayang, amanah, jujur, dan pelbagai sifat mulia lain, diangkat sebagai satu nilai yang perlu diraikan dalam komuniti sekolah.

            “Umi, Dina dapat badge Penelope Pursuit!” Seronok anak saya apabila diiktiraf kelebihan mereka oleh guru.

            Lencana ini membawa maksud, pelajar mempunyai kualiti dalam memburu ilmu dan mempunyai komitmen tinggi demi mencapai potensi diri. Mereka mempunyai bakat dalam critical thinking. Sentiasa mengambil kira suasana sekeliling dan meraikan perbezaan pendapat dan cara fikir.

            Lencana Eddy Environment diberikan kepada pelajar yang prihatin dalam menjaga alam sekitar. Mereka mengambil berat tentang kebersihan dan menjaga persekitaran kelas dan sekolah. Pelajar ini diraikan atas sikapnya yang pembersih, ringan tulang, dan faham tentang keperluan kitar semula.

            Lencana Richie Respect diberikan kepada pelajar yang mempunyai sikap tolenrasi yang tinggi sesama individu. Selain sikap hormat menghormati, karakter ini juga menyanjung tinggi nilai integriti dan kejujuran, mengakui keunikan diri, dan meraikan perbezaan individu.

            Ini antara lencana yang dibawa balik oleh Dina dari sekolah rendah. Di akhir sesi persekolahan, pelajar yang mendapat lencana terbanyak akan diberi keistimewaan lain, seperti baucer aiskrim atau buku.

            Guru kelas mempunyai peranan besar dalam mempraktikkan nilai mulia ini. Guru akan membawa nilai ini dalam aktiviti harian di kelas, seperti menggalakkan para pelajar berkongsi barang, menunggu giliran, dan bersabar, sepertimana yang terkandung dalam sifat Richie Respect yang diraikan. Pelajar bukan sahaja menghafal sifat mulia seperti menyanyikan lagu kebangsaan, tetapi guru kelas akan memastikan mereka menjiwai sifat mulia itu dalam diri.

            Setiap subjek yang diajar di dalam kelas akan diberi nilai tambah mengikut karakter yang dipilih. Pengulangan dan latihan yang disemai oleh guru dilakukan secara berterusan tanpa jemu. Ternyata pendekatan ini memberi kesan positif kepada anak rebung yang dilentur. Kelak, mereka akan keluar bersosial di luar sekolah dan membawa akhlak ini hingga dewasa.


Koleksi Anie-Alja



Akhlak dari rumah

Benar, akhlak seharusnya bermula dari rumah iaitu ibu bapa, tetapi pengukuhan harus disokong oleh komuniti sekolah dan masyarakat sekeliling. Pengalaman saya mendidik anak dalam dua dunia berbeza antara sekolah dan rumah, tidak menjaminkan kesan positif. Mereka tidak mampu menyambung akhlak dari rumah, jika sekolah tidak meraikan nilai yang sama. Anak rasa malu, tersisih, dan lemah diketepikan. Jika anak kita yang hanya menunggu giliran, sedangkan orang lain tidak mengikut peraturan.

            Anak akan dibuli atau diremehkan jika mereka sahaja bercakap jujur, sedangkan pelajar lain bebas memanipulasi kawan sekelas. Guru yang sepatutnya mengangkat tinggi nilai kejujuran, tetapi mengambil sikap tidak endah. Kononnya, tidak mahu memanjangkan isu yang dianggap remeh. Kesannya, sangat negatif pada perkembangan emosi anak rebung yang baru mengenal dunia.

            Betullah kata cerdik pandai, kita perlukan sekampung untuk mendidik seorang anak. Dan inilah yang diamalkan dalam masyarakat tempatan di sini. Sifat gotong-royong dalam mendidik anak-anak sekolah dapat dilihat jelas dalam sistem pendidikan di sini.

            Pengiktirafan terhadap sifat murni ini memberi impak besar dalam pembentukan personaliti pelajar. Anugerah kecemerlangan tidak terbatas pada kecemerlangan akademik semata-mata. Mereka turut meraikan sifat positif yang ditunjukkan pelajar. Oleh itu, pelajar sekolah sentiasa berusaha dan bersemangat mempamerkan sikap dan kelakuan yang disenangi, kerana ia diiktiraf oleh orang sekeliling.

            “Satu, dua, tiga...sembilan, badge karakter yang Dina dapat. Best, kan!” Seronok sekali Dina menggantung lencana itu di dalam bilik tidurnya.

            Apabila anak bertukar sekolah pada tahun lepas, nilai murni yang diamalkan di sekolah baru sedikit berbeza berbanding dulu. Di sekolah ini, nilai murni yang diraikan adalah doing your best, respect, responsible, caring, compassion, bouncing back, dan getting along.

            Saya dapat lihat kesannya dengan jelas, anak-anak membawa nilai murni ini dalam kehidupan harian walaupun mereka berada di rumah. Mereka mempunyai set piawaian nilai, bagaimana seharusnya individu berkelakuan.

            “Umi, kena cakap terima kasih bila orang tunggu dan beri kita jalan.” Saya sering ditegur anak apabila tidak tunjuk rasa hormat pada orang sekeliling.



No comments:

Post a Comment

Pasaran Memoir

Teks: Anie Alja Memoir Masih Rebung Ramai penulis tempatan memberi gambaran yang salah tentang seni penulisan memoir. Memoir bukan...